Imigresen Selangor serbu pangsapuri jadi koloni warga asing di Pelabuhan Klang

JABATAN Imigresen (JIM) menyerbu kawasan perumahan di sebuah pangsapuri di Pendamar B, Pelabuhan Klang di Selangor yang dipercayai menjadi tempat tumpuan pendatang asing tanpa izin.

Dalam operasi Ops Sapu itu yang bermula jam 8.30 malam tadi sehingga awal pagi ini, seramai 285 warga asing telah diperiksa.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, daripada keseluruhan mereka yang disaring, seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal berusia 16 hingga 50 tahun melibatkan 70 lelaki dan 25 wanita.

“Operasi melibatkan seramai 78 orang pegawai dan anggota JIM Selangor mengesan beberapa kesalahan warga asing terbabit antaranya tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan pagi ini.

Menurut Lokman Effendi, hasil operasi menunjukkan kawasan itu memang menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen yang sah.

Dalam operasi ini juga kata beliau, pihaknya turut membongkar sebuah unit rumah sewa yang dijadikan lokasi penagihan dadah membabitkan dua wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan.

Lelaki itu didakwa cuba melupuskan bahan dipercayai dadah sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, namun tindakannya disedari sebelum dia ditahan.

Sementara itu, lapor Sinar Harian dan Berita Harian dalam serbuan tersebut, helah seorang wanita warga India yang kononnya mengaku dia merupakan penduduk tempatan terbongkar selepas dia tidak tahu menyanyikan lagu Negaraku selepas diminta pasukan penguat kuasa.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu awalnya mendakwa dia rakyat Malaysia namun terdiam ketika diminta menyambung rangkap pertama lagu kebangsaan sebelum menangis dan merayu supaya dilepaskan.

Suasana ketika serbuan turut menjadi kecoh apabila beberapa PATI cuba melarikan diri, termasuk seorang lelaki yang nekad terjun dari tingkap tingkat satu tetapi berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi.

Selain itu terdapat beberapa warga asing yang bertindak bersembunyi di bilik air, mematikan lampu rumah serta melarikan diri menggunakan tangga kecemasan bagi mengelak diperiksa.

Penduduk di kawasan itu sebelum ini mendakwa jumlah warga asing meningkat sejak beberapa tahun lalu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.

Dakwa penduduk, warga asing sebelum ini turut dipercayai membuang sampah dari tingkat atas sehingga mencemarkan kawasan perumahan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img