RUMAH inap desa di Kampung Permatang Rengan, Kota Kuala Muda di Sungai Petani dijadikan taktik sebagai stor sementara menyimpan 62 kilogram (kg) dadah syabu bernilai kira-kira RM3.1 juta.
Polis bagaimanapun berjaya membongkar kegiatan jenayah itu selepas menyerbu kediaman berkenaan pada Selasa lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan pertama dilakukan jam 6.30 petang apabila suspek ditahan di tepi jalan di kampung berkenaan.
“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun ditahan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dadah berkenaan,” katanya, lapor Harian Metro.
Menurutnya, pemeriksaan awal ke atas suspek membawa kepada penemuan sejumlah kecil dadah sebelum polis melakukan pemeriksaan lanjut di sebuah inap desa berhampiran.
“Polis kemudian merampas 150 gram dadah syabu serta kunci inap desa sebelum dibawa ke sebuah lagi inap desa berdekatan.
“Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan 62 kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM3.1 juta yang disorokkan di bawah katil di dalam salah satu bilik di situ,” katanya.
Tambah beliau, suspek dipercayai berada di negara ini sekitar dua hingga tiga tahun lalu dan melakukan kerja-kerja kampung.
“Sewaktu pemeriksaan di inap desa, tiada individu lain dan suspek dipercayai menjadi penjaga stor dengan bayaran sekitar RM116 iaitu Rp500,000 bagi setiap kilogram dadah,” katanya.
Beliau berkata, susulan penahanan lelaki terbabit, polis kemudian menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 32 tahun yang dipercayai menyewa rumah inap desa berkenaan.
“Kedua-duanya ditahan di Penaga, Pulau Pinang pada jam 11 malam kelmarin. Siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi baharu dengan hanya mengedar dadah dalam kuantiti kecil ke pasaran tempatan bagi menampung kos operasi mereka.
“Sebahagian besar dadah yang disimpan itu adalah untuk dihantar ke negara kedua iaitu Indonesia melalui jalan laut, bekalan dipercayai diperolehi dari Lembah Klang, disimpan dua hari sebelum dibawa keluar,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua hingga tiga bulan lalu dengan pasangan suami isteri berkenaan menerima bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,000 untuk menyewakan inap desa berkenaan.
“Tindakan sindiket ini menggunakan khidmat warga tempatan untuk menyewa inap sewa dipercayai bagi mengelakkan rasa curiga pemilik inap desa dan penduduk setempat.
“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


