SELANGOR FC dikenakan hukuman beraksi dua perlawanan tanpa penonton bagi saingan Piala FA dan didenda RM100,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, hukuman itu diputuskan dalam mesyuarat kali pertama bagi penggal 2025-2029 semalam berkaitan insiden ketika aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Negeri Sembilan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), 29 Oktober lalu.
“Bermain tanpa penonton (beraksi di stadium kosong) untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA, iaitu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2025-2026, Selangor FC menentang Sabah FC di Stadium MBPJ, 30 November 2025 dan perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.
“Didenda sebanyak RM100,000 akibat daripada kesalahan berulang (Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM). Selangor FC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya.
Beliau memberitahu, Selangor didapati bersalah terhadap lima pertuduhan iaitu:
*Pertuduhan pertama, pada perlawanan itu penyokong Selangor FC melakukan pembakaran mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan mercun dilihat dan didengari yang dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.
*Pertuduhan kedua, penyokong Selangor FC merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC yang mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong Negeri Sembilan FC.
*Pertuduhan ketiga, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.
*Pertuduhan keempat, penyokong Selangor FC melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.
*Pertuduhan kelima, Selangor FC didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran seperti mematuhi dan melaksanakan undang-undang keselamatan sedia ada (undang-undang FIFA & AFC, undang-undang FAM, undang-undang nasional, perjanjian antarabangsa) dan mengambil setiap langkah keselamatan mengikut keadaan sebelum, semasa dan selepas perlawanan dan jika insiden berlaku.


