INSTITUT Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus membuktikan keberkesanannya dalam memperkasa usahawan tempatan apabila berjaya merekodkan peningkatan hasil jualan berjumlah RM22.4 juta menerusi pelaksanaan Program Bimbingan INSKEN sepanjang tahun 2025.
Kejayaan itu dicapai melalui pelaksanaan 27 Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), 11 Program INSKEN Mini Coaching serta inisiatif SPACE-PPS dan PUSH, yang melibatkan lebih 1,200 usahawan mikro dari pelbagai sektor.
Program tersebut turut menyumbang kepada penciptaan 710 peluang pekerjaan baharu, selain menyaksikan 59 usahawan meningkat taraf daripada kategori mikro kepada kecil.
INSKEN turut melaporkan pulangan bernilai RM6.70 bagi setiap RM1.00 yang dibelanjakan, menggambarkan impak tinggi pelaburan kerajaan terhadap pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2025 disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Datuk Mustaffa Kamil Ayub yang menyifatkan pencapaian tersebut selari dengan fokus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan aspirasi Ekonomi Madani.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, pihaknya komited meneruskan usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui inisiatif baharu termasuk Perusahaan Sosial, Perniagaan Inklusif, serta peningkatan kemahiran digital dan produktiviti PMKS.
“Tumpuan INSKEN bukan sekadar membantu meningkatkan jualan, tetapi turut memastikan usahawan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi semasa,” katanya.
Majlis tersebut turut meraikan penerima Anugerah Usahawan Madani INSKEN 2025 (AUMI) melibatkan lima kategori utama, dengan Anugerah Perdana diberikan kepada Yusuf Roy Fitri Mohamad Johnny daripada Raya Khas Sdn. Bhd.
Turut hadir dalam majlis adalah barisan pengurusan INSKEN bersama para peserta program yang telah menamatkan bimbingan.
Dalam pada itu, maklumat lanjut mengenai program keusahawanan boleh diperoleh melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my serta platform media sosial rasmi INSKEN.


