INSKEN perkasa usahawan tempatan, tingkat penjenamaan jualan

KEBERKESANAN program bimbingan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) terus dibuktikan apabila para alumni berjaya melakukan transformasi ketara terhadap perniagaan masing-masing, termasuk dari aspek penjenamaan, pemasaran dan peningkatan jualan.

Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, pihaknya berbesar hati berkongsi pencapaian para usahawan di bawah industri INSKEN Business Bumiputera Coaching (IBBC), yang meraikan seramai 710 graduan dari seluruh negara pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2025.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Para usahawan ini berjaya mencatat jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM22.4 juta.

“Di sebalik angka itu, terdapat peningkatan kualiti hidup, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan status perniagaan turut berubah  daripada informal kepada mikro dan mikro kepada kecil,” katanya ketika ditemui media di Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2025.

Viviantie Sarjuni

Menurutnya, INSKEN komited untuk memperluaskan jalinan kerjasama dengan sembilan agensi lain di bawah KUSKOP, selain membuka peluang kerjasama dengan mana-mana pihak luar yang berhasrat membawa usahawan ke tahap lebih tinggi.

“Program ini telah melalui proses validasi dan sentiasa membuahkan hasil positif setiap tahun. Tidak ada sebab untuk kita menghentikannya. Namun, pendekatan lebih bersasar akan dilaksanakan bagi meneroka industri baharu,” katanya.

Bagi pemilik Fyna Go, Rafina Abu, 35, penyertaan dalam program INSKEN telah menjadi titik perubahan besar kepada produk Char Kuew Tiaw yang diusahakannya.

“Sebelum saya menyertai INSKEN, bisnes saya biasa-biasa sahaja. Produk pun belum naik dan saya memang bermula dari kosong. Namun selepas menjalani sesi bimbingan, produk saya telah berjaya dinaik taraf, jenama Fyna Go kini dikenali dan pendapatan juga semakin meningkat seperti yang disasarkan oleh coach,” katanya.

Tambahnya, antara cabaran terbesar sebelum ini adalah kesukaran menjual produk kerana kekurangan ilmu dan asas pemasaran. Namun, selepas mengikuti program bimbingan, perubahan ketara mula dirasai.

“Banyak sangat impak yang saya dapat. Dahulu tempahan pun di bawah 100. Sekarang, kami menerima pesanan lebih tinggi dan sasaran untuk projek goodies akan menjadi fokus utama selepas ini,” ujarnya.

Rafina turut berharap agar jenamanya dapat terus diperkukuh serta lebih dikenali pada masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kimyra International Sdn. Bhd., Muhammad Fitri Faridon, 31, yang turut merupakan alumni INSKEN 2025, menyifatkan program tersebut sebagai pendorong utama dalam membina strategi produk dan memahami pasaran dengan lebih mendalam.

“Sebelum ini saya menghasilkan produk tanpa kajian pasaran yang betul. Selepas mengikuti kelas INSKEN, saya sedar saya perlu memahami pasaran dahulu sebelum mengeluarkan produk. Apabila saya lebih mengenali pelanggan, produk yang dihasilkan lebih cepat terjual,” jelasnya.

Muhammad Fitri mengakui penerimaan terhadap produknya meningkat mendadak semasa menyertai beberapa acara dan program keusahawanan.

“Walaupun jenama itu masih baharu dan belum melalui proses penjenamaan secara menyeluruh, jualannya tetap sangat baik kerana saya memahami kehendak pelanggan dan memilih event yang tepat,” katanya.

Kejayaan kedua-dua usahawan tersebut sekali lagi mengukuhkan peranan INSKEN sebagai institusi yang menyokong pemerkasaan usahawan tempatan melalui latihan berstruktur, bimbingan intensif dan pemantauan berterusan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img