INSTITUT Keusahawanan Negara (INSKEN) menyasarkan prestasi lebih baik berbanding tahun lalu, dengan fokus utama tahun ini adalah kepada aspek penskalaan perniagaan usahawan mikro ke tahap yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) institusi itu bukan semata-mata berdasarkan jumlah pendapatan, sebaliknya lebih menekankan usaha mengembangkan perniagaan mikro kepada kategori perusahaan kecil.
“KPI kita lebih kepada penskalaan. Maksudnya kita nak keluarkan mereka yang di mikro. Berapa yang mereka capai itu kita tak tekankan sangat, tetapi secara semula jadi kita memang nak capai lebih daripada RM22.4 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Hi Tea Media bersama INSKEN di Chef Kechik Boulangerie @ Tuah 1895 Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Menurut beliau, angka tersebut yang dicapai sebelum ini sudah dianggap sangat besar memandangkan ia dijana oleh perniagaan mikro, dan tidak mustahil jumlah tersebut akan meningkat berganda pada tahun ini.
Namun, Viviantie menegaskan keusahawanan sosial bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu memastikan manfaat kewangan yang dijana sampai kepada komuniti setempat.
Dalam perkembangan sama, INSKEN akan meningkatkan secara ketara jumlah sesi bimbingan dan latihan, daripada sekitar 30 program tahun lalu kepada kira-kira 150 program latihan tahun ini.
“Program-program tersebut akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Perlis dan Johor, tanpa tertumpu hanya di Lembah Klang.
“Tahun ini kita ada dua program utama iaitu Bangkit dan Masterclass. Bangkit merupakan bimbingan selama tiga hingga empat bulan, manakala Masterclass pula berlangsung selama dua hingga tiga hari,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan INSKEN kini memperluaskan peranan melebihi latihan bilik darjah dengan penubuhan beberapa jabatan baharu.
“Ia termasuk penubuhan internal think tank, penganjuran sesi meja bulat, serta membawa usahawan ke luar negara bagi pendedahan antarabangsa.
“INSKEN turut menyediakan subsidi bagi membantu usahawan menyertai aktiviti akses pasaran. Kita tak nak terhenti dan terlalu konvensional kerana cabaran sebenar sebenarnya berlaku di luar bilik darjah,” katanya.


