PEGAWAI polis yang ditahan kerja kerana pernah menimbulkan kontroversi, Inspektor Sheila tiba di kompleks mahkamah di Kuala Lumpur sebelum dia berdepan pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
Wanita yang nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 37, tiba dengan menaiki van polis berwarna putih dan diiringi oleh pegawai penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).
Sebaik saja keluar dari kenderaan itu, Sheila yang memakai blaus dan skirt turut bercakap dengan petugas media.
“Selamat tengah hari semua. Apa khabar? Baik? Sebarang soalan boleh tanya saya kemudian, ya. Seronok berjumpa dengan anda semua. Hari yang baik untuk Malaysia,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam masa sama, Sheila turut memberi ‘amaran’ kepada jurugambar yang mengambil gambarnya.
“Awak ada minta izin saya untuk ambil gambar? Itu hak saya. Awak tak boleh ambil gambar tanpa kebenaran saya. Ambil gambar tanpa izin saya, hati-hati,” katanya.
Sheila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan itu.
Sementara itu, peguam wanita berkenaan, M Manoharan berkata, anak guamnya memaklumkan mengenai penahanannya pada jam 7.50 pagi ini.
“Dia beritahu bahawa dia sedang dibawa ke Balai Polis Dang Wangi,” katanya.
Sebelum ini, Sheila dilihat dalam video tular yang didakwa memperlekeh sekumpulan anggota polis yang menahan dan memeriksa seorang lelaki warga Pakistan kerana memandu tanpa lesen pada 4 November lalu.
Semasa pemeriksaan itu, dia didakwa menuduh anggota polis tidak mengetahui undang-undang, memperlekehkan tindakan mereka dan mendakwa mereka mengugut warga asing itu.
Salah seorang anggota polis kemudian membuat laporan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana kelakuan menghina.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, siasatan sudah selesai dan kertas siasatan berkait wanita itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.


