PAS mempersoalkan tindakan Bersih yang didakwa cuba mencipta persepsi negatif apabila mendedahkan Ahli Parlimen pembangkang gagal mengisytiharkan harta.
Ketika mempersoalkan, tindakan Bersih itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, integriti badan pemantau pilihan raya itu kini diragui kerana dilihat tidak bebas dan cenderung kepada kerajaan.
“Integriti Bersih kini diragui banyak pihak kerana dilihat lebih cenderung kepada kerajaan berbanding mempertahankan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya kepada poltal berita FMT.
Tuan Ibrahim mempersoalkan, apa keperluan untuk pembangkang mengisytiharkan isytihar harta.
‘’(Sebenarnya, ia hanya gimik politik sempit kerana pelbagai ruang yang terdedah kepada penipuan dan penyelewengan perisytiharan harta,’’ katanya.
Beliau menegaskan, Perikatan Nasional (PN) serius dalam soal ketelusan, apabila wakil rakyatnya yang menjadi anggota pentadbiran sebelum ini telah mengisytiharkan harta.
“Saya menafikan kenyataan bahawa pembangkang tidak isytihar harta kerana sewaktu kami (PN) jadi kerajaan, pengisytiharan harta telah dibuat. Kami menyokong pengisytiharan harta diwajibkan kepada parti memerintah kerana mereka lebih mudah terdedah kepada elemen rasuah dan salah guna kuasa berbanding pembangkang,’’ katanya.
Tuan Ibrahim menjelaskan, tindakan Pas sebelum ini menentang pengisytiharan harta dibuat secara umum, namun bersetuju jika harta diisytiharkan kepada pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi mengelak risiko keselamatan.
“(Bukan) didedahkan kepada umum kerana ia akan menimbulkan pelbagai kesan keselamatan kepada diri (wakil rakyat) dan keluarga sebagaimana terjadi sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz, memaklumkan bahawa Ahli Parlimen pembangkang masih belum mengisytiharkan harta, meskipun desakan berulang kali dibuat oleh masyarakat umum.
Katanya, satu-satunya pihak yang berbuat demikian setakat ini ialah ahli politik PKR, dengan majoriti daripada 72 calonnya pada PRU15 mengisytiharkan harta, termasuk presiden parti, Anwar Ibrahim, isterinya Dr Wan Azizah Ismail serta timbalan presiden ketika itu, Rafizi Ramli.
“Sebelum ini, Pas pernah kata ia tidak akan mengisytiharkan harta, selari dengan prinsip-prinsip Islam,” kata Faisal, merujuk kenyataan Tuan Ibrahim pada 2019.
Sementara itu, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN bersedia mewajibkan Ahli Parlimennya yang dilantik dalam kerajaan mengisytiharkan harta sekiranya gabungan itu kembali mentadbir di Putrajaya.
“Sudah tentu tiada masalah untuk (wakil rakyat PN dilantik menjadi anggota pentadbiran) mengisytiharkan harta (jika PN kembali ke Putrajaya),” katanya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri harus membuat pengisytiharan harta kerana mereka tidak dibenarkan terlibat dalam kegiatan perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada keperluan untuk wakil rakyat pembangkang berbuat demikian pada masa ini kerana tidak memegang jawatan dalam kerajaan.
Beliau menambah, isytihar harta atau tidak, wakil rakyat biasa sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang, yang dibenarkan menjalankan perniagaan, tetap wajib mengisytiharkan pendapatan tahunan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
UNDILAH |