STATUS Tel Aviv yang ‘dipropagandakan’ oleh rejim Zionis sebagai ‘kebal’ dari serangan Iran terus menjadi sekadar mitos, apabila kerosakan besar berlaku di beberapa lokasi akibat peluru berpandu Iran.
Menurut laporan Saluran 12 Israel, sekurang-kurangnya tiga bangunan musnah sepenuhnya dalam serangan berkenaan.
Sebelum ini bandar itu juga mengalami kerosakan teruk akibat serangan Iran termasuk lokasi berdekatan loji nuklear rejim Zionis.

Dalam perkembangan berkaitan, Tasnim News Agency melaporkan, Jabatan Perhubungan Awam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memaklumkan bahawa gelombang ke-78 Operasi “Janji Benar 4” telah dilancarkan pada malam Isnin, dengan sokongan rakyat Iran serta serangan peluru berpandu oleh pasukan tenteranya.
Operasi tersebut, yang dilaksanakan dengan kod “Ya Dalil al-Mutahayyirin”, didedikasikan kepada penduduk wilayah timur Iran termasuk Khorasan Utara, Khorasan Razavi, Khorasan Selatan serta wilayah Sistan dan Baluchestan.

Agensi berita itu turut memaparkan gambar-gambar kemusnahan di Tel Aviv.
Menurut kenyataan itu, sasaran di Eilat, Dimona, utara Tel Aviv serta beberapa pangkalan tentera Amerika di rantau berkenaan telah diserang dengan tepat menggunakan peluru berpandu berpandu jenis Emad dan Qadr berbilang kepala peledak, selain dron pemusnah.
IRGC turut menegaskan bahawa mereka sedang menjalankan “operasi berimpak tinggi” sambil berdepan dengan pihak yang dianggap sebagai penceroboh, dan memberi amaran bahawa sebahagian besar unit tempur termasuk pasukan Basij masih belum dikerahkan.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya pasukan tersebut digerakkan, konflik akan menjadi lebih sengit dan membawa akibat yang lebih buruk kepada pihak musuh.
Nama pasukan itu ialah Basij-e Mostazafin (Mobilisasi Golongan Tertindas). Ia ditubuhkan selepas Revolusi Islam Iran 1979 oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini.
Ahlinya terdiri daripada rakyat biasa — pelajar, pekerja, remaja dan warga emas dan berfungsi sebagai sokongan kepada tentera elit Iran. Jumlah mereka dianggarkan berjuta-juta orang yang aktif dan simpanan.


