IRAN menafikan sebarang rancangan untuk meletakkan periuk api di Teluk Parsi susulan konflik berterusan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Republik Islam itu.
Dalam satu kenyataan hari in, jurucakap Markas Komando Khatam al-Anbia menegaskan Iran kini menguasai sepenuhnya perairan strategik termasuk Teluk Parsi dan Laut Oman, selain mengawal Selat Hormuz secara “bijaksana dan berkuasa”.
“Dengan penguasaan dan kekuatan mencukupi yang dimiliki, tiada keperluan untuk meletakkan periuk api di Teluk Parsi. Jika perlu, kami akan menggunakan semua cara yang ada bagi menjamin keselamatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa angkatan bersenjata Iran, dengan kerjasama negara-negara serantau, berupaya memastikan keselamatan di kawasan tersebut tanpa campur tangan kuasa luar.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan gelombang baharu serangan balas terhadap sasaran Amerika dan Israel sebagai sebahagian daripada operasi ketenteraan yang berterusan.
IRGC awal pagi hari ini memaklumkan bahawa mereka telah melaksanakan gelombang ke-78 serangan balas di bawah Operasi “True Promise 4”.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan didedikasikan kepada penduduk wilayah timur Iran, termasuk wilayah Khorasan Utara, Khorasan Razavi, Khorasan Selatan serta Sistan dan Baluchestan.
Dalam serangan terbaharu, sasaran di wilayah Israel seperti Eilat, Dimona dan utara Tel Aviv dilaporkan diserang menggunakan peluru berpandu berketepatan tinggi termasuk jenis Emad dan Qadr yang dilengkapi kepala peledak berbilang, selain penggunaan dron tempur.
Serangan turut menyasarkan beberapa pangkalan tentera Amerika di rantau berkenaan.
IRGC menyatakan bahawa mereka melaksanakan “operasi berfokuskan impak” bagi menghadapi pihak yang disifatkan sebagai “penceroboh kejam”.
Tambah kenyataan itu, sebahagian besar unit tempur IRGC dan pasukan Basij masih belum dikerahkan ke medan pertempuran, sambil memberi amaran bahawa penglibatan mereka akan meningkatkan lagi intensiti konflik.
IRGC turut memberi amaran bahawa sebarang usaha pihak musuh untuk mengubah keseimbangan perang tidak akan terlepas daripada pemantauan mereka, dan tindakan balas tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang bentuk pencerobohan.


