Israel mahu hapus bangsa Palestin bukan kongsi negara

MUKADIMAH:

Bahagian pertama, artikel Jeremy Salt, Pakar Sejarah Moden Timur Tengah semalam, telah didedahkan bagaimana perang Gaza adalah agenda terancang zionis menghapuskan bangsa Palestin. Bahagian Akhir artikel ini akan mendedahkan bagaimana  sikap Israel yang pasti akan menggagalkan pelan damai.

KEKEJAMAN, kezaliman dan sikap tidak peduli terhadap nyawa Arab tidak berubah sejak 1948, begitu juga kebencian rasis yang diekspresikan oleh Koestler dan Uris. Untuk membunuh seperti yang telah dilakukan adalah bukti cengkaman ideologi yang mendalam.

Kekejaman itu berulang dalam banyak episod yang hampir dilupakan — serangan ke atas Gaza, serbuan ke kampung Jordan pada 1950-an dan 1960-an yang membunuh puluhan orang awam setiap kali, di mana dua pertiga mangsa wanita dan kanak-kanak. Setiap serangan ialah pautan dalam rangka keganasan ekstrem yang dirancang sejak awal untuk merampas Palestin daripada rakyat asalnya.

Hanya peristiwa besar yang membangkitkan kemarahan sejagat. Pemusnahan dan pembersihan etnik selepas perang 1967 dibayangi kegembiraan media Barat terhadap penghinaan Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser.

Tuntutan Israel mengenai “serangan pra-emptif” pada 6 Jun adalah pembohongan yang diulang oleh ahli politik dan media, seperti juga pembohongan tentang WMD Iraq pada 2003.

Kawasan Mughrabi yang diasaskan pada abad ke-12 berhampiran Haram al-Sharif — lebih 135 buah rumah dan dua masjid — dirobohkan pada 10 Jun dan 11 Jun. Ratusan Palestin dihalau ke jalanan dan diberi coklat jika memilih naik bas ke Amman. Ramai lelaki ditahan. Segala yang dimiliki Palestin dilenyapkan ke dalam runtuhan, dilaporkan termasuk mayat.

Tujuh kampung di luar bandar dimusnahkan; bangunan di Nablus diletupkan dan peneroka haram Yahudi datang dengan bagasi untuk membawa apa yang boleh, menurut saksi. Rompakan berlaku di mana-mana, bukan hanya di Jerusalem atau Nablus. Ia adalah sebahagian daripada keganasan genosid yang kini melanda Tebing Barat.

Pada 1982, tentera Israel mengawasi tindakan pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Sabra dan Shatila di Beirut. Ribuan dipancung oleh tentera upahan fasis Lubnan yang dimasukkan ke kem itu untuk melakukan kerja kotor Israel.

Pembunuhan kejam itu dilakukan dengan pisau supaya mangsa seterusnya tidak mendengar pembunuh datang. Walaupun hampir 20,000 rakyat Lubnan dan Palestin maut dalam beberapa bulan, Israel tidak pernah dihukum — corak yang mendorong ia melampaui sempadan lagi. Arkitek kekejaman itu ialah Ariel Sharon.

Kejadian 1982 diikuti serangan 2006 ke atas Lubnan yang membunuh 1,200 hingga 1,300 orang awam dan memusnahkan infrastruktur penting — loji kumbahan, penjana, jambatan dan jalan — bersama rumah, sekolah, hospital dan masjid. Dari situ lahir “doktrin Dahiyeh” dan ancaman untuk memusnahkan segala-galanya pada serangan akan datang.

Pada 2024, Israel sekali lagi melancarkan perang ke atas Lubnan, membunuh ratusan orang awam di Beirut dan kampung selatan. Selain serangan peluru berpandu, ribuan pager ‘diledakkan’ yang dipasang dengan perangkap menyebabkan 42 orang terbunuh dan ribuan cedera; sesetengah peranti direka meletup apabila diangkat ke wajah, menyebabkan kematian, kebutaan dan kehilangan anggota.

 Netanyahu meraikan kejayaan itu dengan menghadiahkan sebuah pager emas kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump — mesej pada skrin berbunyi “Tekan dengan kedua-dua tangan.” Trump memuji serangan itu sebagai “operasi hebat.”

Gelombang serangan udara dan darat terhadap Gaza kemudiannya mencetuskan tindak balas Palestin pada 7 Oktober 2023. Antara 2008 dan 2023, 7,363 Palestin terbunuh di Gaza dan Tebing Barat (641 wanita, 279 perempuan, 1,358 kanak-kanak lelaki dan 5,053 lelaki), berbanding 377 orang Israel dalam kawasan diduduki.

Kepimpinan zionis mula menetapkan matlamat sejak awal abad ke-20 untuk merampas seluruh Palestin — matlamat yang masih utuh dan menjelaskan mengapa mana-mana “proses damai” sukar membuahkan hasil. Bukan kerana keamanan mustahil dicapai, tetapi kerana Israel tidak mahu keamanan — sekurang-kurangnya untuk terma yang bukan ditetapkannya.

Setiap peluang digunakan untuk meneruskan misi sejarah itu; sempadan tidak dapat dimuktamadkan selagi misi belum tercapai. Setiap reaksi terhadap proses damai ditangkis atau ditangguh dengan tujuan memberi masa kepada Israel untuk memenuhi seluruh Palestin dengan penempatan.

Tiada niat berkongsi Palestin. Ia jelas pada 1948 dan jelas sekarang. Saling bersalaman dan bergambar mesra sering diikuti syarat yang tiada Palestin boleh terima.

Gaza mengejutkan dunia, tetapi dunia belum menyedari bahawa keganasan kini adalah kesinambungan langsung daripada keganasan sejarah dan kemungkinan besar akan berterusan.

Apa yang belum disedari dunia ialah Israel sedang menyerang kemanusiaan itu sendiri – asas paling asas perikemanusiaan adalah nyawa kanak-kanak, yang Israel telah membunuh secara rutin sejak 1948.

Kerana tidak pernah dihukum bagi kekejamannya, ia terus berlanjut. Dalam dua tahun kebelakangan ini, sekurang-kurangnya 25,000 kanak-kanak di Gaza dilaporkan terbunuh — angka minimum yang diiktiraf, dengan jumlah sebenar sukar dikenal pasti kerana berbilion tan runtuhan menimpa jasad mereka. Ini merupakan salah satu jenayah paling mengerikan dalam sejarah dunia, namun Israel masih belum menerima hukuman.

Perang Israel terhadap Palestin adalah juga perang terhadap undang-undang antarabangsa dan institusi yang dibentuk untuk menjadikan dunia lebih selamat. Ia adalah serangan terhadap peradaban moden oleh sebuah negara yang merujuk kembali kepada kebiadaban sejarah lama untuk membenarkannya. Musuhnya — satu bangsa, bukan tentera semata — mesti dimusnahkan sepenuhnya, tanpa belas kasihan.

Israel tidak peduli apa yang ditetapkan undang-undang antarabangsa. Ia tidak peka terhadap nyawa Palestin yang dibunuhnya, termasuk beribu-ribu kanak-kanak. Bagaimana mungkin pembunuhan beramai-ramai kanak-kanak boleh berlaku tanpa mencetuskan trauma nasional? Sejauh manakah sebuah masyarakat boleh jatuh sehingga mencapai tahap ketidakpedulian sebegitu?

Inilah hasil yang dihasilkan oleh ideologi zionisme yang rasis. Dunia Barat perlu sedar apa yang telah diciptakannya — bukanlah petani kibbutz peminat keamanan era 1950-an yang memetik gitar di sekeliling unggun api, tetapi sebuah gergasi bermata nuklear yang merempuh apa saja di hadapannya.

Israel telah belajar dari sejarah; dunia Barat belum. Pelajaran Israel ialah ia boleh melakukan apa sahaja tanpa dibalas. “Sekutunya” dan “rakan”nya telah menunjukkan diri mereka sebagai pengecut dan bodoh yang mudah dipergunakan.

*Jeremy Salt pernah mengajar selama bertahun-tahun di University of Melbourne, Bosporus University di Istanbul, dan Bilkent University di Ankara. Artikel ini dipetik daripada portal The Palestine Chronicle.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img