Israel tidak mahu bebaskan tokoh perpaduan Palestin Marwan Barghouti

Tokoh Palestin paling popular dan dianggap berpotensi menyatukan rakyatnya, Marwan Barghouti, tidak termasuk dalam senarai tahanan yang bakal dibebaskan Israel sebagai pertukaran dengan tebusan yang ditahan Hamas di bawah perjanjian gencatan senjata baharu di Gaza.

Kerajaan Israel turut menolak pembebasan beberapa tahanan berprofil tinggi lain yang lama dituntut oleh Hamas. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada senarai kira-kira 250 tahanan yang diterbitkan di laman web rasmi kerajaan pada Jumaat adalah muktamad.

Pegawai kanan Hamas, Mousa Abu Marzouk, memberitahu saluran televisyen Al Jazeera bahawa pihaknya menuntut pembebasan Barghouti serta beberapa tokoh lain, dan rundingan sedang diteruskan dengan pengantara antarabangsa.

Israel menganggap Barghouti sebagai pemimpin pengganas. Beliau kini menjalani lima hukuman penjara seumur hidup selepas disabitkan pada 2004 atas pembabitannya dalam beberapa serangan yang mengorbankan lima rakyat Israel.

Namun, ramai penganalisis percaya Israel sebenarnya bimbang terhadap pengaruh politik Barghouti, yang walaupun menyokong penyelesaian dua negara, pernah mempertahankan hak rakyat Palestin untuk menentang pendudukan secara bersenjata. Ramai rakyat Palestin menggelarnya sebagai “Nelson Mandela Palestin”, simbol perjuangan dan perpaduan kebangsaan.

Perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa Jumaat lalu turut menyaksikan Hamas dijangka membebaskan sekitar 20 tebusan Israel yang masih hidup menjelang Isnin, manakala Israel akan membebaskan kira-kira 250 banduan Palestin serta hampir 1,700 tahanan dari Gaza yang ditahan tanpa pertuduhan sepanjang dua tahun lepas.

Kedua-dua pihak melihat pembebasan itu sebagai simbolik besar: rakyat Israel menganggap tahanan Palestin sebagai pengganas yang terlibat dalam pengeboman atau serangan bersenjata, manakala rakyat Palestin melihat mereka sebagai pejuang pembebasan atau tahanan politik di bawah pendudukan berdekad lamanya.

GAMBAR TERBARU Pada Ogos lalu menunjukkan menteri paling jahat di Israel, Menteri Keselamatan Negara I Itamar Ben-Gvir, menyiarkan video dirinya menengking Barghouti (kanan) dalam penjara dan memberi amaran bahawa Israel akan “memusnahkan” sesiapa sahaja yang menentang negara itu.

Kebanyakan tahanan yang bakal dibebaskan ialah anggota Hamas dan Fatah yang ditangkap pada awal 2000-an semasa Intifadah Kedua, pemberontakan besar-besaran rakyat Palestin menentang pendudukan Israel. Ramai disabitkan kerana terbabit dalam serangan bersenjata terhadap orang awam, peneroka dan tentera Israel.

Antara mereka termasuk Iyad Abu Al-Rub, komander Jihad Islam yang dihukum kerana mengatur beberapa serangan pengeboman bunuh diri antara 2003 hingga 2005 yang mengorbankan 13 orang.

Tahanan paling lama, Samir Abu Naama, 64 tahun, ahli Fatah dari Tebing Barat, ditahan sejak 1986 atas tuduhan menanam bahan letupan. Yang termuda, Mohammed Abu Qatish, ditangkap ketika berusia 16 tahun pada 2022 kerana cubaan menikam.

Lebih separuh daripada mereka yang dibebaskan dijangka dihantar pulang ke Gaza atau dibuang negara ke luar wilayah Palestin.

Israel tetap menolak pembebasan Barghouti dan tokoh-tokoh lain kerana bimbang sejarah pembebasan Yahya Sinwar pada 2011 akan berulang. Sinwar, yang dibebaskan dalam pertukaran tahanan ketika itu, kemudian menjadi salah seorang perancang utama serangan 7 Oktober 2023 dan mengetuai Hamas sebelum terbunuh dalam operasi Israel tahun lalu.

Kini berusia 66 tahun, Barghouti dianggap tokoh perpaduan merentas puak Palestin dan calon paling berpotensi menggantikan Presiden Mahmoud Abbas, yang semakin tidak popular di mata rakyat. Tinjauan umum menunjukkan beliau kekal sebagai pemimpin Palestin paling dipercayai.

Dilahirkan di Kobar, Tebing Barat pada 1959, Barghouti pernah memimpin gerakan pelajar menentang pendudukan Israel semasa menuntut di Universiti Bir Zeit. Beliau memainkan peranan utama dalam Intifadah Pertama pada 1987 sebelum diusir ke Jordan. Selepas kembali pada 1990-an melalui perjanjian Oslo, beliau mengetuai cabang Fatah di Tebing Barat dan dikaitkan dengan Briged Syuhada al-Aqsa, sayap bersenjata Fatah.

Dalam tulisannya pada 2002 di The Washington Post, beliau menegaskan:

“Saya bukan pengganas, tetapi saya juga bukan seorang pasifis.”

Sejak penahanannya, Barghouti terus menjadi simbol perjuangan Palestin. Pada 2017, beliau mengetuai mogok lapar selama 40 hari yang disertai lebih 1,500 tahanan bagi menuntut layanan lebih baik di penjara Israel.

Penganalisis berpendapat Barghouti kekal berintegriti dan bebas daripada skandal rasuah yang mencemari pentadbiran Abbas. Pengaruhnya dianggap mampu memperkukuh institusi Palestin, sesuatu yang dilihat berbahaya oleh kerajaan kanan Israel yang menolak sebarang langkah ke arah penubuhan negara Palestin.

“Barghouti dilihat sebagai pemimpin nasional yang kredibel – seseorang yang mampu memimpin rakyat Palestin dengan cara yang gagal dilakukan Abbas,” kata penganalisis Mouin Rabbani dari Democracy for the Arab World Now.

Israel, katanya, “berusaha keras mengelak” kebangkitan Barghouti kerana dasar lama negara itu adalah memastikan rakyat Palestin kekal berpecah dan kepimpinan mereka lemah.

Kebimbangan itu turut dikongsi Abbas sendiri, yang melihat Barghouti sebagai ancaman politik terbesar terhadap kedudukannya.

Barghouti terakhir kali dilihat pada Ogos lalu apabila Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, menyiarkan video dirinya menengking Barghouti dalam penjara dan memberi amaran bahawa Israel akan “memusnahkan” sesiapa sahaja yang menentang negara itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img