Isu cerai-berai parti bukan urusan kerajaan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa isu perpecahan atau ‘cerai-berai’ dalam kalangan parti politik bukan urusan kerajaan, sebaliknya menekankan bahawa keutamaan pentadbiran ketika ini adalah memastikan kestabilan negara dan tumpuan penuh terhadap ekonomi serta pembelaan nasib rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan masih kekal utuh dan semua pihak dalam pentadbiran telah memberikan komitmen untuk terus bekerja demi kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.

“Yang penting sekarang, Kerajaan Perpaduan masih utuh dan semua telah memberikan ikrar masing-masing untuk menumpukan perhatian kepada urusan ekonomi dan pembelaan nasib rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya hari ini.

Tambahnya, setakat ini tiada maklumat rasmi diterima berkaitan sebarang isu serius yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan.

“Itu belum serius, saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan masing-masing.

“Soal orang ada keinginan atau kecenderungan masing-masing, soal berpecah atau bercerai-berai, itu bukan masalah saya dan bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa sebarang perkembangan politik di luar kerajaan tidak menjejaskan keupayaan pentadbiran untuk terus berfungsi secara stabil dan berkesan.

“Kerajaan akan terus bekerja dan melaksanakan tugas. Perkara lain itu adalah urusan mereka,” katanya.

Pas sebelum ini menyambut baik cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN) jika UMNO mengisytiharkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau sangat setuju dengan cadangan menghidupkan semula MN yang dilontarkan Muhamad Akmal.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img