Isu dakwaan latihan komando di Masjid Rusila makin panas: Maritim nafi kenyataan Takiyuddin, Jawatankuasa Masjid nafi kenyataan Maritim

ISU dakwaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menjalankan latihan komando di dalam Masjid Rusila, Marang seperti mana didedahkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat semalam semakin panas.

Ketika Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah begitu tegas menafikan dakwaan Takiyuddin,  Jawatankuasa Masjid Rusila hari ini menegaskan sebaliknya.

Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz, menjelaskan pihak masjid tidak pernah menerima sebarang permohonan atau pemakluman apa-apa aktiviti dinyatakan dalam kenyataan tersebut, sama ada secara lisan ataupun secara bertulis.

Katanya, pihak polis mengesahkan bahawa Maritim Malaysia tidak menjalankan sebarang aktiviti di situ pada tarikh tersebut.

“Justeru, pihak masjid telah mengambil keputusan membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut. Setelah itu barulah kami menerima pemakluman lisan dan permohonan maaf melalui telefon daripada pihak Maritim Malaysia.

“Pihak masjid sangat kecewa dengan sikap dan tindakan tidak profesional ditunjukkan Maritim Malaysia dalam menangani isu ini,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, Mohd Rosli berkata, tuduhan Takiyuddin bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menjatuhkan moral operator pasukan elit negara.

“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi. Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” tegasnya lagi.

Tambah beliau, latihan yang dimaksudkan ialah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), latihan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin, dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.

“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya. Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana dakwaan, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut.

Malah ujar beliau, elemen keagamaan diterapkan sebagai asas pegangan para pelatih dalam meningkatkan jati diri dan integriti mereka sebagai seorang penguat kuasa dan operator pasukan khas.

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan, isu laporan polis yang timbul, telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf atas salah faham yang berlaku.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img