Isu pelantikan menteri Wilayah Persekutuan perlu ditangani secara berhati-hati – Asyraf Wajdi

ISU pelantikan menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan yang cuba dijadikan polemik berunsur perkauman oleh pihak tertentu perlu ditangani secara berhati-hati dan dinilai secara menyeluruh kerana melibatkan sentimen sensitif dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permainan sentimen sedemikian boleh menjejaskan keharmonian serta mencetuskan salah faham sekiranya tidak diperhatikan secara tuntas oleh semua pihak berkepentingan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut dan menegaskan bahawa isu berkenaan tidak wajar dipandang ringan.

“Aspek paling mustahak ialah memastikan kebajikan dan hak Bumiputera di bandar terus dipelihara, selaras dengan jaminan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian High Innovation Products and Services Expo (HIPEC) di Kompleks Usahawan MARA, Batu Muda, Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, segala hal yang melibatkan Wilayah Persekutuan kekal berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan sebarang keputusan berkaitan perlu dirujuk kepada Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Saya harap ini antara perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian kerana apa juga langkah yang akan dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri, khususnya yang melibatkan hal-hal Wilayah Persekutuan, pastinya akan diperhatikan secara dekat oleh ramai pihak,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan tetap diteruskan seperti dijadualkan pada Januari depan.

“Perhimpunan Agung UMNO akan diteruskan pada 14, 15, 16 dan 17 Januari 2026, khususnya untuk perwakilan daripada Sabah,” katanya.

Menurut beliau, tarikh berkenaan bertindan dengan kempen Pilihan Raya Kecil, namun parti telah mengambil pendekatan bersesuaian bagi menangani situasi tersebut.

Katanya, keputusan meneruskan perhimpunan dibuat hasil Mesyuarat Biro Politik yang diangkat ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti.

“Bagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada perwakilan dari Sabah sama ada untuk hadir secara fizikal atau menyertai perhimpunan secara dalam talian memandangkan tempoh itu berada di tengah-tengah kempen pilihan raya,” jelas beliau.

Tambahnya, semua perancangan telah direncanakan dengan baik bagi memastikan kelancaran Perhimpunan Agung UMNO serta memberi ruang kepada perwakilan melaksanakan tanggungjawab parti dan komitmen politik masing-masing.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img