Isu pemandu mabuk : Azalina setuju syor pinda undang-undang, kenakan hukuman lebih berat

PERUNTUKAN hukuman terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, khususnya yang menyebabkan kematian, perlu dipertingkatkan bagi menimbulkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peruntukan undang-undang sedia ada dilihat masih rendah berbanding kesalahan yang dilakukan.

“Apatah lagi sehingga mengakibatkan orang tidak bersalah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-Undang Komanwel (CLEA) 2026, hari ini, lapor Berita Harian.

Menurutnya, kementerian berkaitan perlu menilai semula peruntukan undang-undang sedia ada dan mempertimbangkan pindaan di Parlimen bagi memastikan hukuman lebih setimpal.

“Pada saya, mungkin rakyat Malaysia kena tengok hukuman itu (berat), baru dia macam (rasa) was-was (gerun). Sebab kalau tidak, mungkin dia rasa boleh (bayar saman atau denda). Kalau kata (denda) RM50,000 boleh dapat diskaun RM20,000. Mungkin itu (pandangan masyarakat),” katanya.

Azalina berkata, sebagai pengamal undang-undang, beliau melihat kesedaran rakyat untuk mengelak daripada melakukan kesalahan ada kalanya perlu dibuat menerusi peruntukan undang-undang yang setimpal dan berat.

“Kadang-kadang rakyat ini, kita kena (jelaskan hukuman) undang-undang itu, mungkin kena buat pindaan supaya undang-undang dapat nyatakan bawah ini kesalahan, itu denda. Kalau dia tengok denda itu rendah, dia rasa benda itu dia boleh bayar,” katanya.

Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat dikenakan iaitu penjara antara 15 hingga 20 tahun serta denda RM100,000 hingga RM150,000.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilaporkan sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 akta sama, termasuk mewajibkan pesalah membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Dalam terbaharu, seorang pembantu makmal, R Saktygaanapathy, 28, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang kelmarin atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di Klang, Ahad lalu.

Lelaki berkenaan yang ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, kira-kira jam 11.47 pagi Ahad lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img