Isu pemandu mabuk : JPJ semak Akta Pengangkutan Jalan 1987

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan semakan semula Seksyen 44 dan Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menetapkan hukuman lebih berat terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan kes kemalangan maut membabitkan pemandu di bawah pengaruh bahan terlarang.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengarahkan semakan dibuat dan perkara itu kini berada pada peringkat awal penelitian bersama pasukan perundangan JPJ sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

“Ini yang kita lihat apabila berlaku kejadian yang menyayat hati, kemalangan yang menyebabkan pemandu maut itu.

“Jadi pihak MOT yang berhubungan dengan Menteri Pengangkutan telah mengarahkan MOT dan juga JPJ untuk meneliti semula Seksyen 44 dan Seksyen 45 di bawah Akta Pengangkutan Jalan untuk kita kenakan tindakan yang lebih keras dan tegas kepada pesalah-pesalah yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh mabuk ataupun dadah, termasuklah pampasan ganti rugi kepada keluarga mangsa yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Setia JPJ Mac 2026, hari ini, lapor Buletin TV3.

Aedy berkata, walaupun pindaan sebelum ini telah meningkatkan hukuman sehingga 15 tahun penjara dan denda maksimum RM500,000, ia dilihat masih belum memberi kesan pencegahan yang mencukupi.

Katanya, terdapat keperluan untuk memperketat hukuman bagi memberi pengajaran kepada pesalah serta mengelakkan kejadian sama berulang.

Dalam masa sama, JPJ akan mempergiat usaha advokasi secara lebih agresif bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini dilaporkan mencadangkan supaya pesalah diwajibkan membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain menjalani hukuman penjara.

Beliau menegaskan kerajaan komited memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.

Terdahulu, kes seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Klang baru-baru ini telah dipinda kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, Saktygaanapathy Ravichandran, 28, didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, dalam kejadian kira-kira jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat, Klang.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img