POLIS Selangor mengingatkan orang ramai agar tidak memainkan sentimen perkauman dan agama berhubung kes perobohan rumah ibadat di Rawang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, isu itu bukan konflik antara agama atau kaum sebaliknya membabitkan dua sudut iaitu kes pencerobohan dan keengganan untuk berpindah.
Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan secara profesional dan berlandaskan Perlembagaan negara.
Beliau memberitahu, polis tidak akan mengulas lanjut bagi mengelakkan persepsi mana-mana pihak sehingga siasatan selesai.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempolitikkan atau memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.
“Ini kerana isu tersebut sebenarnya berkaitan pencerobohan dan keengganan berpindah dari tanah milik pihak tertentu, bukan konflik agama atau kaum,” katanya pada sidang media Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang, di Stesen MRT Stadium Kajang, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, empat lelaki ditahan Rabu lalu kerana disyaki merobohkan kuil haram tanpa sebarang pemakluman kepada pihak berkuasa tempatan.
Tangkapan dibuat ke atas empat lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun serta rampasan sebuah jengkaut.
Sehari kemudian, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan untuk membatalkan tahanan reman dua hari yang dikeluarkan oleh Majistret Selayang terhadap supek dan kesemua mereka dibebaskan serta-merta.
Shazeli dalam pada itu meminta pihak media supaya membantu pihak berkuasa untuk meredakan keadaan sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.


