ISU RUMAH ibadah perlu ditangani dengan cermat dan adil kerana hal ehwal agama mudah menjadi polemik sekiranya tidak diurus secara berhikmah, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Justeru kata beliau, penyelesaian yang berasaskan undang-undang serta mengutamakan ketenteraman awam amat penting demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk.
‘’Kerajaan wajar bertindak tegas dan konsisten dalam menangani isu pembinaan rumah ibadah tanpa kebenaran sah, tidak kira di mana ia didirikan, termasuk yang dibangunkan di atas tanah milik persendirian.
‘’Tiada pihak seharusnya diberi ruang untuk mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sedia ada. Ketegasan penguatkuasaan bukan bertujuan menimbulkan ketegangan, sebaliknya untuk memastikan peraturan dipatuhi secara menyeluruh dan saksama,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, banyak negara mengurus isu sensitif seperti ini melalui gabungan dua pendekatan, rundingan dan rangka perundangan yang jelas.
‘’Rundingan membantu meredakan ketegangan dan mencari jalan keluar yang munasabah, manakala undang-undang yang tegas dan tersusun memastikan setiap pihak memahami had, prosedur, serta tanggungjawab masing-masing. Dalam isu yang melibatkan kepentingan awam, kepastian undang-undang ialah asas kepada keadilan dan ketenteraman,’’ katanya.
Tuan Ibrahim menegaskan, sebenarnya isu arahan berpindah atau perobohan rumah ibadah bukan perkara baharu.
‘’Ia telah berlaku dari semasa ke semasa atas pelbagai sebab, termasuk faktor keselamatan, perancangan bandar, status tanah dan pematuhan peraturan pihak berkuasa tempatan.
‘Dalam banyak keadaan, perkara ini dapat diselesaikan secara harmoni melalui perundingan dan persetujuan bersama bagi mencari penyelesaian yang paling wajar,’’ katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar polemik pembinaan rumah ibadah tanpa kebenaran sah yang timbul ketika ini juga didapati berlaku di atas tanah bertuan.
‘’Jelas bahawa jika perkara ini ditangani lebih awal melalui pemantauan dan penguatkuasaan yang konsisten, situasi sebegini dapat dielakkan. Hakikatnya, semua pembinaan bangunan memerlukan kelulusan pihak berkuasa, malah pengubahsuaian atau pembesaran rumah persendirian juga tertakluk kepada proses kelulusan.
‘’Prinsip yang sama mestilah dikuatkuasakan dalam hal ehwal rumah ibadah agar undang-undang dihormati dan keadilan terpelihara,’’ katanya.
Tuan Ibrahim menegaskan, isu pembinaan bangunan keagamaan tanpa kebenaran sah kini perlu dipandang serius kerana ia boleh mengganggu kepentingan awam, menjejaskan keharmonian antara kaum, dan berpotensi mencetuskan ketegangan sekiranya tidak diurus dengan teliti.
‘’Semua pihak wajar mengutamakan sikap saling menghormati serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan,’’ katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Kedah boleh dijadikan contoh dalam mengurus isu ini secara berperaturan dan berimbang dengan menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), di samping meluluskan pemberian Sijil Rizab di bawah garis panduan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada pemilik kuil yang memenuhi syarat.
‘’Untuk keharmonian semua pihak, mari kita letakkan diri pada kedudukan orang lain. Bagaimana perasaan kita jika tanah milik kita diceroboh dan dibangunkan sesuatu tanpa kebenaran? Prinsip asas dalam hidup bermasyarakat ialah: jangan lakukan kepada orang lain perkara yang kita sendiri tidak sanggup menerimanya,’’ katanya.


