JABATAN Mufti Negeri Perak (JMNPk) menegur penganjuran acara ‘Tidur Lambak’ selama dua hari di Ipoh dan menggesanya diperhalusi semula agar tidak bertentangan dengan tuntutan syarak serta adat Melayu.
Dalam satu kenyataan, ia berpandangan acara tidur beramai-ramai secara santai itu perlu diteliti dengan merujuk kepada elemen syarak dan adat Melayu supaya tidak mengundang fitnah terhadap Islam serta meminggirkan kehalusan nilai, akhlak dan budaya masyarakat Melayu.
Berikut kenyataan penuh Jabatan Mufti Perak:
Jabatan Mufti Negeri Perak mengambil maklum acara “Tidur Lambak” iaitu tidur beramai-ramai secara santai, anjuran Tapir Studio yang diilhamkan daripada pengalaman atau budaya unik masyarakat Malaysia, antara lain mengetengahkan suasana semasa balik kampung dan semua orang tidur beramai-ramai dalam satu ruang.
Difahamkan bahawa acara yang akan diadakan di Ipoh, Perak pada 27 dan 28 Mac 2026 ini bermatlamat untuk menghidupkan semula pengalaman budaya lama yang disegarkan semula dengan konsep moden di samping menggalakkan hubungan sosial dan membuka pengalaman kepada individu yang tidak pernah mengalami suasana dan budaya sedemikian.
Jabatan ini secara dasarnya tidak membantah secara keseluruhan aktiviti-aktiviti yang dirangka, namun berpandangan bahawa acara sedemikian perlu kepada penelitian yang saksama dengan merujuk kepada elemen syarak dan ‘adat Melayu agar pelaksanaannya tidak mengundang fitnah terhadap agama Islam serta mengkesampingkan kehalusan nilai, akhlak dan budaya umat Melayu.
Implementasi syarak dalam seluruh dimensi kehidupan bermatlamat untuk kemaslahatan manusia sendiri dan hal ini tercakup juga dalam sebarang penganjuran acara dan program yang melibatkan individu dan keluarga Muslim khususnya dan masyarakat amnya.
Bukan tujuan beragama untuk menyempitkan wewenang kehidupan seseorang dan memutuskan hubungan sosial sesama manusia, namun ia sebagai penyelamat kepada diri manusia itu sendiri daripada kehinaan dan kerosakan nilai harga diri manusiawi.
Acara yang berlangsung selama dua malam yang bukan hanya berkonsepkan kemeriahan tetapi ketenangan dan nostalgia, diserikan dengan gabungan bunyi serta artistik yang boleh mengundang kedamaian untuk beristirehat secara asasnya tidak mendatangkan jurang pertikaian.
Namun kekhuatiran utama adalah potensi ikhtilat (percampuran) antara lelaki dan perempuan bukan mahram yang dilakukan secara pilihan boleh mengundang sesuatu yang bercanggah dengan syarak.
Antara perkara lain yang bakal terhasil sewaktu berlakunya percampuran termasuk kesukaran memelihara pandangan, tersingkap batasan aurat, sentuhan dengan bukan mahram serta perkara-perkara lain yang bercanggah dengan syarak yang amat perlu dielakkan.
Panduan terbaik untuk setiap muslim membina asas kepekaan terhadap hubungan sosial lelaki dan perempuan adalah menerusi wahyu Ilahi surah al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:
“Dan Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk(yang membawa kerosakan)”.
Allah SWT yang menjadikan kita mengingatkan para hambanya menerusi surah al- Nur ayat 30 dan 31 yang bermaksud :
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang- orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
‘’Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; ‘’
Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Perak menasihatkan agar acara ini perlu diperhalusi semula pelaksanaannya dan amatlah wajar pihak penganjur merujuk pihak berautoriti terlebih dahulu sebelum penganjuran berlangsung.
Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri wajar dirujuk agar matlamat sesuatu acara itu tercapai dengan jayanya menerusi aktiviti-aktiviti yang patuh syarak serta mengangkat nilai kemuliaan manusiawi itu sendiri.
Beraktiviti atau berekreasi bagi menyegarkan ingatan serta bernostalgia tidaklah ditegah secara mutlak, namun perlu akur dan tunduk kepada panduan syarak yang memandu kehidupan manusia agar terselamat di dunia dan akhirat.


