Janda murung mengaku pecah amanah RM677,629

SEORANG pembantu kewangan sebuah syarikat swasta mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen George Town, atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan jumlah kerugian wang sebanyak RM677,629.50 sejak kira-kira lapan tahun lalu.

Tertuduh, Lee Lay Peng, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Irwan Suainbon, lapor Harian Metro.

Berdasarkan tiga pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh yang bertugas sebagai pembantu kewangan didapati melakukan pecah amanah ke atas harta syarikat berjumlah RM457,744.50.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Syarikat Bold Integrated Service Sdn Bhd, Metro Avenue Lintang Hajjah Rehmah Jelutong yang terletak dalam Daerah Timur Laut pada 16 Jun 2017 hingga 27 Disember 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Darrshini menawarkan wang jaminan berjumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan dan tertuduh juga diminta melapor diri di balai polis setiap awal bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh kemudiannya merayu wang jaminannya dikurangkan memandangkan dia adalah ibu tunggal yang perlu menyara dua anak berusia 17 dan 18 tahun yang masih bersekolah.

Dia turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa dirinya berdepan masalah kemurungan dan perlu mengambil ubat untuk merawat penyakitnya selain telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan kes itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 14 April depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman dan mendengar fakta kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, tertuduh dilihat rebah hingga terpaksa dipapah dua pegawai polis wanita selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan pecah amanah di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengaku melakukan pecah amanah wang berjumlah RM219,885 di lokasi dan syarikat sama pada 13 Januari 2020 hingga 5 April 2020.

Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan wang jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin serta tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi pendakwaan.

Dalam mitigasi rayuan tertuduh memaklumkan dia sedang berbincang dengan pihak syarikat untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah dan berhasrat memulangkan semula semua wang diambilnya itu.

“Saya sedang berusaha cari duit untuk bayar balik duit itu. Saya tak lari daripada kesilapan yang sudah saya lakukan ini. Saya sangat menyesal dan insaf. Saya mohon berikan saya masa dan peluang untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 22 April sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img