KETUA Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah menyeru para pelajar agar tidak berdiam diri dan segera melaporkan sebarang kejadian buli sama ada sebagai mangsa mahupun saksi.
Tegas beliau, tindakan melapor bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu keberanian untuk melindungi diri sendiri serta rakan-rakan daripada terus menjadi mangsa.
Beliau juga menekankan isu buli yang masih menjadi cabaran serius dalam persekitaran sekolah ketika menghadiri Program First Day At School di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Program yang dipaparkan dalam Facebook Polis Kedah itu mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, khususnya dalam memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, kondusif dan sejahtera sejak hari pertama sesi persekolahan.
Kehadiran kepimpinan tertinggi Polis Kedah ini turut menjadi simbol sokongan moral kepada para pelajar, guru dan seluruh warga sekolah dalam memulakan sesi akademik baharu dengan penuh keyakinan, disiplin serta kesedaran terhadap tanggungjawab bersama dalam membanteras gejala buli.
Sementara itu, sebanyak 345,259 murid di 753 sekolah rendah dan menengah di Kedah memulakan sesi persekolahan hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah Abdul Rahim Mat berkata jumlah itu melibatkan 199,208 murid di 548 sekolah rendah dan 146,051 murid di 205 sekolah menengah.
“Seramai 29,004 murid memasuki Tahun Satu dan 28,778 murid memasuki Tingkatan Satu, manakala 30,674 guru telah melaporkan diri pada tahun ini.
“Operasi sekolah di seluruh Kedah setakat ini berjalan lancar. Fokus utama JPN Kedah pada tahun ini adalah menangani isu keciciran dan ketidakhadiran murid, dan kita mahu memastikan semua murid hadir ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Setar sempena hari pertama sesi persekolahan 2026.


