Jangan bicara siapa PM kalau kita masih berantakan – Tuan Ibrahim

TIMBALAN Presiden Pas , Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, parti-parti Melayu tidak perlu berbicara siapa Perdana Menteri kalau mereka masih berantakan.

Tegasnya, agenda penyatuan Melayu hanya akan tinggal slogan jika parti politik masih mengutamakan kepentingan kelompok sendiri.

Katanya, kriteria calon perdana menteri yang mampu menyatukan kaum itu hanya boleh direalisasikan jika semua pihak sedia meletakkan perpaduan sebagai asas utama.

“Calon perdana menteri dengan kriteria tersebut hanya ada apabila semua pihak bersedia meletakkan penyatuan melayu sebagai asas utama, membelakangkan agenda peribadi dan keutamaan kelompoknya sahaja. Ia sesuatu yang mudah disebut namun agak sukar dilaksanakan. Selagi tidak terhantuk, tidak tengadah,” katanya lapor FMT.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan keupayaan menyatukan orang Melayu faktor paling penting dalam menentukan individu layak menjadi Perdana Menteri.

Tuan Ibrahim berkata Pas melihat perlunya gagasan penyatuan ummah direalisasikan berpaksikan panduan Allah yang bersifat universal, integriti, amanah dan berwibawa.

Katanya, keutamaan buat masa ini adalah memenangi jumlah kerusi maksimum pada PRU akan datang melalui perpaduan yang jitu.

“Perkukuhkan perpaduan dan kesatuan. Selagi parti komponan berpecah kita sebenarnya menuju kelemahan. Jangan bicara siapa PM kalau kita berantakan,” katanya.

Pas yang kini berada bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) berada dalam dilema apabila tercetus perbalahan dalam Bersatu yang menyaksikan pertembungan antara Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang akhirnya dipecat daripada parti tersebut.

Perbalahan itu menyebabkan Bersatu dilihat semakin lemah apabila majoriti ahli Parlimennya yang masih kekal dalam parti terus memberi sokongan kepada Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img