PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas menyangkal dakwaan bahawa gabungan itu mahu menekan atau menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Sebaliknya tegas beliau, gabungan itu akan kekal setia sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Beliau berkata, sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan, BN kekal konsisten mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berperanan sebagai rakan strategik yang melengkapkan agenda pentadbiran negara.
“BN tidak pernah mengugut, tidak pernah goyah, malah tetap setia sebagai rakan setia dalam kerajaan perpaduan. Jangan risau soal taat setia (kami). Kalau orang mahu jumpa kita, kita jumpa orang itu, tidak semestinya kita buat keputusan untuk tebuk atap untuk menjatuhkan. BN tetap setia. Sekali setia, tetap setia,’’ tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di Butterworth hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kesetiaan menjadi tonggak utama dalam sesebuah organisasi politik, terutama dalam gabungan besar seperti BN yang telah sekian lama berdepan pelbagai ujian.
“Kita diuji ketika menang dengan kuasa dan diuji ketika kalah dengan kesetiaan. Jika seseorang pemimpin tidak setia, jangan harap dia akan mendapat kesetiaan daripada ahlinya,” katanya
Ahmad Zahid berkata, BN mahu memastikan segala janji yang terkandung dalam manifesto parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dilaksanakan sepenuhnya demi kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan satu pemukiman melibatkan menteri, timbalan menteri serta kepimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan diadakan pada 10 dan 11 Jan depan bagi menilai tahap pelaksanaan manifesto.
Katanya, permukiman itu bertujuan mencari titik persamaan antara manifesto gabungan, khususnya berkaitan kos sara hidup, pengangguran, pendidikan dan keselamatan, serta mengenal pasti perkara yang masih belum ditunaikan.


