‘’Jangan tegur saja…pecat terus’’ kata Rafizi kepada Anwar

AHLI Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli ternyata tidak senang apabila tiada tindakan diambil ke atas seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri yang mengeluarkan surat  sokongan untuk kontraktor dalam satu projek hospital.

 Justeru hari ini bekas Menteri Ekonomi itu dalam kenyataan melalui video di Facebook beliau menggesa  Perdana Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim bukan sahaja perlu menegur, tetapi memecat setiausaha politik tersebut.

‘’Tindakan itu boleh menjadi peluang untuk Perdana Menteri menunjukkan komitmennya dalam memerangi rasuah. Itu yang sepatutnya berlaku. Jangan tegur sahaja. Pecat terus,” katanya.

Sebelum ini Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau telah memberi teguran keras kepada Setiausaha Politiknya kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sokongan sebegitu.

Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang membangkitkan isu Setiausaha politik Anwar menyenaraikan enam kontraktor dalam surat sokongan untuk satu projek hospital yang tidak dinyatakan.

Pemimpin Pas itu mendakwa hanya dua daripada enam kontraktor tersebut layak, manakala selebihnya tidak mempunyai rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Rafizi berkata jawapan Anwar kurang memuaskan memandangkan surat berkenaan terbongkar tahun lalu dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad telah mengesahkan ketulenannya.

“Sehingga hari ini, beliau tidak pernah mengetepikan isu memerangi rasuah dalam ucapannya.

“Ketika kami di pihak pembangkang, rakyat faham bahawa kami tidak berkuasa. Kini setelah tiga tahun dalam kerajaan, kita tidak boleh salahkan mereka jika mereka berharap untuk melihat hasil usaha anti-rasuah,” katanya.

Rafizi mendakwa beliau sebelum ini telah membincangkan beberapa perkara serupa dengan Anwar dan Perdana Menteri  memaklumkan kepadanya akan menyemak dakwaan tersebut.

“Beliau menyemaknya dan mengesahkan apa yang saya katakan adalah benar. Tetapi Setiausaha Politik Kanan itu masih kekal di situ sehingga sekarang,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga Rafizi secara tegas menggesa Anwar merujuk Setiausaha Politik tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bila surat itu dikeluarkan dan sama ada wujud transaksi wang.

“Jika seseorang itu ditegur dengan keras tetapi masih kekal di jawatannya, tiada siapa akan mengambil serius ucapan anda walau sekuat mana pun bahasanya.

“Anda tidak mahu orang berkata bahawa anda mengatakan satu perkara di khalayak, tetapi melakukan sesuatu yang lain secara peribadi,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img