POLIS mengesahkan penemuan satu janin bayi di dalam sebuah lori sampah di kawasan Bukit Jalil, Cheras, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan penemuan itu pada pukul 12.51 tengah hari.
“Seorang lelaki Melayu daripada Syarikat Alam Flora memaklumkan pekerjanya menemukan janin bayi semasa memunggah sampah ke dalam lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aidil memaklumkan kes ini masih dalam siasatan dan polis sedang mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian yang berlaku boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Elfi di talian +601110048773 atau disalurkan kepada Hotline Polis Daerah Cheras di talian 0392845050, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis yang berhampiran.
Sebelum ini, tular video memaparkan objek dipercayai mayat bayi yang ditemui dalam timbunan sisa di dalam lori sampah.


