
Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani
KETEGASAN Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak usaha permintaan mengiktiraf UEC amat dihargai.
Inilah ketegasan yang julung-julung kalinya dapat kita lihat berkaitan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu. Sebelum ini semacam tidak terbela pun bahasa Melayu sebab itu ‘kaduk selalu naik junjung’ tanpa segan-segan.
Tanpa ketegasan seperti kali ini golongan tertentu dalam kerajaan dan di luar kerajaan akan terus menerus menimbulkan pelbagai isu remeh mahupun sensitif demi menarik sokongan, simpati dan perhatian penyokong setia mereka.
Konon-kononnya merekalah pejuang tegar golongan tersebut sekalipun yang dituntut bercanggah dengan akta, Perlembagaan seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri. Mereka tidak pernah peduli tentang akta dan undang-undang selagi ada ruang atau lompong untuk mendapat laba.
Entah berapa kali dan bertahun-tahun desakan seumpama itu atau tegasnya “ugutan” dilakukan menjelang pilihan raya atau selepas pilihan raya. Jika sebelum pilihan raya, untuk cubaan mengambil hati pengundi agar menyokong mereka.
Selepasnya pula, bertujuan untuk dijadikan hadiah tanda terima kasih pula kepada pengundi. Ertinya sama ada menang atau kalah pengundi golongan tersebut tetaplah mendapat sesuatu. Tidak pulang dengan tangan kosong manakala pihak yang patuh Perlembagaan asyik dalam kerugian.
Hal seperti ini telah berlangsung berdekad-dekad tanpa sebarang iktibar diambil walaupun mungkin difahami atau diketahui oleh penguasa. Alasannya tiada keberanian untuk bersuara walaupun yakin di pihak yang benar. Itulah takut tidak bertempat malah merugikan dalam perjuangan demi masa depan bangsa dan negara.
Semoga Konvensyen 153 anjuran pelbagai institusi dan badan berkaitan Melayu pada 13 Disember 2025 dapat menjadi pemangkin untuk orang Melayu bangkit semula sebagai bangsa teras negara ini, menuntut hak sah mereka di sisi Perlembagaan yang selama tujuh dekad tersisih atau malu-malu kucing untuk menuntutnya sedangkan satu pihak lagi dengan rakusnya tanpa segan silu menuntut apa sahaja yang di langit dan di bumi.
Maka yang memberi pula seolah-olah bersedia memberi apa sahaja tanpa teragak-agak atau menapisnya. Hubaya-hubayalah bangsaku, pemimpinnya sebelum nasi menjadi bubur.
*Penulis adalah Pengerusi Biro IR dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu.


