Jawatan Pengerusi PN tidak boleh dihapuskan, tegas Sanusi

KETUA  Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jawatan pengerusi gabungan berkenaan tidak boleh dimansuhkan memandangkan ia termaktub di dalam Perlembagaan PN.

Katanya, fungsi jawatan berkenaan juga berbeza dengan Majlis Presiden yang menjadi penasihat gabungan serta mengawal dasar-dasar yang telah diputuskan.

Menteri Besar Kedah itu menegaskan, sebarang keputusan membabitkan struktur kepimpinan PN juga perlu melalui konsensus kesemua parti kompenen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Dalam masa sama, Muhammad Sanusi menyeru agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan perlu berlandaskan Perlembagaan PN supaya tidak mengeruhkan hubungan antara parti di dalam gabungan.

“Dalam perlembagaan PN, Perkara 7 Seksyen 7 sudah ada Majlis Presiden, Majlis Presiden ini dianggotai oleh Presiden-Presiden sebagai penasihat, (mengendali dan) mengawal dasar-dasar,

“(Manakala jawatan) Pengerusi PN adalah eksekutif yang mempengerusikan majlis tertinggi, dua benda yang berbeza, tidak boleh nak hapus satu, dua-dua (jawatan itu) ada dalam perlembagaan, tidak timbul isu itu (jika ikut Perlembagaan),

“(Keputusan) kena konsensus, tak boleh sorang-sorang, hendak buat apa-apa statement itu kena tengok dulu Perlembagaan, kalau berdasarkan Perlembagaan tiada siapa nak pertikai, penafsiran tentang perlembagaan (pula) kena bincang, runding, diperhalusi oleh ahlinya,” katanya lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program 1 Bulan 1 Sukan Peringkat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan ketua baharu.

Menerusi sepucuk surat kepada pimpinan Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), bekas Perdana Menteri itu berkata, Bersatu dan Pas bersetuju PN perlu distruktur semula melalui penubuhan dua badan baharu iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img