Jenayah curi kabel: KDN lihat keperluan pinda hukuman bawah Kanun Keseksaan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengakui wujudnya keperluan mendesak untuk meminda hukuman bagi kesalahan mencuri di bawah Kanun Keseksaan yang dilihat tidak setimpal kerugian dialami, terutama membabitkan kes kecurian kabel.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sudah berjumpa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta operator rel baru-baru ini dan berbincang mengenai kesan berskala besar kecurian terhadap kabel rel termasuk membabitkan projek yang masih belum beroperasi iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Pentingnya kita melihat peruntukan undang-undang, akta dan seksyen tertentu. Apakah ia suatu yang dianggap relevan dengan keadaan sekarang dan kita setuju bahawa ada keperluan untuk kita meneliti ke arah memindanya,” katanya, lapor BH.

Saifuddin berkata demikian kepada media selepas Majlis Libat Urus dan Amanat Menteri Dalam Negeri bersama warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Anthony bahawa tindakan lebih tegas bawah undang-undang yang ketat perlu diambil bagi kesalahan mencuri kabel kerana ia bukan kesalahan biasa, sebaliknya melibatkan keselamatan awam.

Saifuddin dalam pada itu menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen kilang pelupusan besi keluli dan logam sekiranya mereka didapati mereka membeli bahan yang dicuri.

“Bahagian terbabit dengan pelesenan sudah diarah melihat jika ada pemegang lesen terbabit jenayah berkenaan.

“Saya minta KDN, terutama yang menguruskan soal bahagian pelesenan kilang-kilang pelupusan besi dan keluli logam semua ini untuk kita tengok semua tuan punya lesen.

“Kita akan tengok kalau mereka terlibat dengan pembelian kabel curi ini kita akan segera mengambil tindakan,” tegas beliau.

Saifuddin juga berkata, operator rel juga perlu bersedia untuk membuat pelaburan besar dan menggunakan teknologi tinggi seperti diguna pakai negara maju seperti Jerman dan China bagi tujuan melindungi keselamatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak sebelum itu dilaporkan berkata, beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, yang bukan sahaja meningkatkan kos baik pulih dan penggantian, malah berisiko menunda jadual ujian dan pentauliahan tren dijangka bermula Jun 2026.

Media juga pernah melaporkan, kerugian dialami Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencecah RM20.6 juta sejak 2023, dengan peningkatan kes mula ketara sejak 2024.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img