WALAUPUN di peringkat pusat kerjasama antara Pakatan Harapan dan UMNO nampak utuh namun di peringkat negeri, masih terdapat kekangan khususnya melibatkan pembahagian kerusi pilihan raya.
Hari ini UMNO Johor mendakwa parti Amanah lebih sibuk mengejar pembahagian kerusi pilihan raya berbanding menumpukan khidmat kepada rakyat, susulan kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang menolak rundingan kerusi dengan Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata tiada halangan buat Dzulkefly atau Amanah Johor untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuk menentang BN jika benar mereka yakin dengan kekuatan sendiri di negeri itu.
“Jika benar beliau begitu yakin dengan kekuatan Amanah di Johor, maka sila bertanding di mana-mana kerusi termasuk menentang BN kerana Umno Johor sentiasa bersedia.,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.
Md Israk mendakwa Dzulkefly merupakan satu-satunya pemimpin Amanah yang bising soal kerusi, sedangkan kepimpinan pusat parti itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
“Apa yang menarik, Dzulkefly Ahmad seorang sahaja yang meroyan tentang kerusi, sedangkan tiada satu pun kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Amanah Pusat yang memperkatakan soal agihan kerusi di Johor.
“Nampaknya, isu kerusi ini lebih menjadi obsesi peribadi beliau, bukan dasar rasmi partinya,” ujarnya.
Pada 15 Oktober lalu, Dzulkefly berkata Amanah Johor berpendapat rundingan pembahagian kerusi antara Harapan dan BN di Johor tidak lagi relevan, kerana kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan tidak wujud di peringkat negeri.
“Sebaliknya, Amanah Johor akan meneruskan persiapan untuk bertanding di semua kerusi DUN tanpa menunggu sebarang rundingan atau tawaran daripada komponen PH atau BN,” katanya.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4900″]


