JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga warganegara China kerana menggunakan pas disyaki palsu sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan visa ke Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita ditahan dalam operasi diadakan di Putrajaya semalam.
“Dalam serbuan itu, turut disita adalah tiga pasport warganegara China yang mempunyai pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) MM2H yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi sindiket yang membekalkan pas jangka panjang palsu bagi tujuan menyokong permohonan visa ke AS.
“Pas palsu itu dijual dengan dengan harga sehingga RM10,000 sekeping. Pas ini dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa,” katanya.
Zakaria berkata, tangkapan itu susulan pembongkaran sindiket sama pada Oktober tahun lalu yang melibatkan enam warga China dan dua lelaki tempatan disyaki ejen.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, JIM turut menahan 11 warga China dalam operasi di Selangor dan Kuala Lumpur kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dan pas pengajian.
“Serbuan di Dengkil itu membawa kepada penahanan lima individu yang disyaki menjalankan operasi restoran tanpa pas sah, manakala di Kepong enam wanita ditahan kerana bekerja sebagai tukang urut.
“Mereka juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran antara RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi,” katanya.
Zakaria berkata, seorang lelaki tempatan turut ditahan kerana disyaki bertindak sebagai majikan dan penjaga premis.
Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan peraturan berkaitan.
JIM akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen termasuk pemalsuan dokumen dan penyeludupan migran, katanya.


