DUNIA bola sepak Serbia dikejutkan dengan kematian jurulatih FK Radnicki 1923, Mladen Zizovic yang meninggal dunia ketika perlawanan Liga Super Serbia awal pagi tadi.
Media tempatan melaporkan Zizovic, 44, rebah akibat serangan jantung pada separuh masa pertama ketika pasukannya menentang Mladost Lucani.
Bekas pemain tengah Bosnia itu baru sahaja dilantik sebagai ketua jurulatih Radnicki 1923 kurang dua minggu lalu.
“Kelab kami kehilangan bukan sahaja seorang profesional hebat, tetapi juga insan baik, rakan dan ahli sukan yang dengan ilmu, tenaga serta keperibadiannya meninggalkan kesan mendalam di hati semua yang mengenalinya,” menurut kenyataan rasmi kelab berkenaan.
Zizovic segera dibawa ke hospital selepas insiden itu, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Beberapa pemain dilaporkan menangis di tengah padang, manakala perlawanan berkenaan dihentikan serta-merta selepas berita kematian jurulatih itu dimaklumkan kepada pegawai perlawanan.
Persekutuan Bolasepak Serbia (FSS) turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan itu.
“Pemergian beliau secara tiba-tiba merupakan kehilangan besar buat seluruh komuniti bola sepak,” kata FSS dalam satu kenyataan.



