Juruteknik IT lepas, bebas tuduhan cabul pengurus restoran wanita

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur melepas dan membebaskan seorang juruteknik teknologi maklumat (IT) daripada satu pertuduhan mencabul kehormatan seorang pengurus restoran wanita di ibu negara, dua tahun lalu.

Majistret Faezahnoor Hassan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh, Lim Wei Lun, 32.

Semasa membaca keputusan, beliau berkata, sukar untuk mahkamah bergantung terhadap keterangan mangsa semata-mata termasuk kenyataan dua lagi saksi.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, jelas bahawa ‘anggota badan’ tertuduh tidak bersentuhan dengan mangsa.

“Tertuduh juga berpakaian penuh iaitu baju T seakan warna hitam dengan berseluar jeans, dilihat hanya menggunakan laluan di belakang mangsa, secara terus ke tempat pengisian semula air.

“Rakaman berdurasi enam minit dan 17 saat juga mendedahkan tertuduh dilihat menggunakan laluan sama ketika ketiadaan mangsa di lokasi kejadian, iaitu setelah selesai mengisi air termasuk mengambil makanan dan manisan lain di meja berdekatan atau bersebelahan tempat air.

“Semasa berjalan di belakang pengadu, tertuduh berjalan dalam keadaan menghadap ke hadapan dan bukannya ke arah punggung mangsa,” katanya.

Faezahnoor berkata, keterangan mangsa tidak selari atau telah bercanggah dengan rakaman CCTV mahupun laporan mangsa sendiri, sekali gus menunjukkan elemen kesalahan itu gagal dibuktikan.

Beliau kemudian melepas dan membebaskan tertuduh daripada kes berkenaan, tanpa dipanggil membela diri dan wang jaminan sebanyak RM3,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Pada 28 Mei 2024, Wei Lun mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 37 tahun, dengan niat hendak mencabul kehormatannya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Solaris 3, Mont Kiara pada jam 6 petang 5 Mei 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad sementara tertuduh diwakili peguam, Sivahnanthan Ragava.

Dalam kes ini, empat saksi pendakwaan termasuk mangsa dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula tahun lalu.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img