SEORANG juruterbang dan pelatih cedera selepas sebuah pesawat ringan dinaiki terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, Taiping semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, polis menerima maklumat mengenai insiden itu melibatkan pesawat jenis microlight kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, pesawat itu dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian enjin dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berhampiran lapangan terbang tersebut.
“Sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal. Kedua-dua mangsa merupakan lelaki berusia 46 dan 40 tahun telah dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” katanya
Beliau berkata, polis menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa, termasuk penyelarasan maklumat dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan kawalan risiko dan keselamatan penduduk sekitar dilaksanakan secara berkesan.


