KABINET hari ini memutuskan untuk mengekalkan peraturan dan garis panduan sedia ada mengenai penghidangan minuman beralkohol di dewan sekolah Cina.
Ini bermakna minuman beralkohol boleh terus dihidangkan apabila dewan di sekolah Cina disewakan kepada orang ramai untuk acara yang tidak melibatkan pelajar.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan itu semasa sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.
“Pertama, dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dibincangkan mengenai isu sekolah dan penganjuran acara yang anda menyediakan, menyajikan minuman beralkohol.
“Jemaah Menteri telah diingatkan dan telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia ada,” katanya.
Menurut Fahmi, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan susulan untuk menjelaskan perkara itu.
Beliau menambah bahawa amalan tertentu terpakai kepada sekolah Cina kerana sebahagian daripadanya mempunyai kemudahan yang dibina dan diselenggara sama ada oleh lembaga pengurusan sekolah atau pihak swasta.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia lebih berpendirian agar alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah.
Kenyataannya dibuat sebagai tindak balas kepada isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen pembangkang Ahmad Fadhli Shaari mengenai penghidangan alkohol pada perhimpunan alumni baru-baru ini yang diadakan di Institusi St Michael di Ipoh.
DAP hari ini menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan rasa tidak senang dan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Cina susulan kenyataan di Parlimen semalam bahawa arak tidak sepatutnya dihidangkan di kawasan sekolah , termasuk dewan awam yang dibina sepenuhnya hasil sumbangan komuniti tersebut.
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng melalui kenyataan dalam Facebook beliau berkata, sejak kemerdekaan pada tahun 1957, sudah menjadi amalan tradisi bagi dewan sekolah rendah Cina digunakan untuk majlis perkahwinan, jamuan kuil, serta acara hiburan masyarakat yang membenarkan hidangan arak.
‘’Semua acara ini dijalankan di luar waktu sekolah dan tanpa penglibatan pelajar. Walaupun Anwar menjelaskan bahawa larangan itu bukan bertujuan untuk memaksakan nilai Islam kepada bukan Islam, tetapi bagi mengekalkan sekolah sebagai tempat pendidikan untuk kanak-kanak, penjelasan itu tidak meyakinkan masyarakat Cina,’’ katanya.


