Kabinet sambut baik penyelarasan proses isu rumah ibadat oleh Kerajaan Selangor

KABINET menyambut baik usaha penyelarasan proses bagi menguruskan isu rumah ibadat yang tidak mendapat kelulusan, yang bakal dilaksanakan Kerajaan Selangor.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang diadakan semalam.

“Perdana Menteri menegaskan bahawa proses tindakan bukan oleh orang perseorangan tetapi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Maka Jemaah Menteri menyambut baik kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Besar Selangor mengenai penyelarasan proses terutama di peringkat PBT untuk menguruskan isu ini. insya-Allah ia akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini, lapor Harian Metro.

Terdahulu, menerusi kenyataan selepas mesyuarat MKN Selangor, Amirudin berkata, antara langkah yang perlu diambil adalah pemilik perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan seterusnya proses pendakwaan dimulakan sekiranya kesalahan pencerobohan dapat dibuktikan.

Menurut Amirudin, notis perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan perkara terbabit dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), manakala Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah turut diaktifkan di semua daerah di Selangor.

Jelas Menteri Besar Selangor itu, JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian yang munasabah.

Perkara itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri semalam yang menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat.

Menurut Anwar, Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan undang-undang dan semua pihak perlu menghormati prinsip tersebut.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img