SEORANG kakitangan awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas lapan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan penilaian prestasi seorang kakitangan antara tahun 2023 hingga 2024.
Maheran Abd Malik, 54, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika itu sebagai penolong pegawai pendidikan awal kanak-kanak di pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Parlimen Ampang dan Pandan.
Maheran didakwa telah menggunakan pengesahan Borang Penilaian Pencapaian Output berkaitan tuntutan kehadiran bertugas di tabika Kemas yang disyaki mengandungi butiran palsu kepada pejabat Kemas negeri Selangor.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 1 September 2023 hingga 30 April 2024 di pejabat jabatan tersebut di Bandar Baru Bangi.
Kelapan-lapan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Maheran juga berdepan lapan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan penilaian prestasi palsu tersebut sebagai dokumen tulen.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi manakala tertuduh diwakili peguam Suzanawati Ismail.
Hakim Awang Kerisnada membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan menyerahkan pasportnya. Mahkamah turut menetapkan 13 Mei depan untuk sebutan semula.


