PERBALAHAN politik selepas Barisan Nasional (BN) membuat keputusan muktamad tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semakin panas apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radi secara tegas berkata, partinya tidak akan tunduk kepada tipu daya dan politik gila kuasa.
Bung Moktar mendakwa GRS menipunya apabila Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah memperdayakan dirinya pada hari barisan Kabinet Sabah mengangkat sumpah.
Katanya, Hajiji berbohong apabila tanpa pengetahuan menukar jawatan menteri negeri yang sepatutnya dipegangnya kepada jawatan lain.
“Kami tidak akan menjadi pak turut kepada politik lompat, tidak akan bersekongkol dengan penipuan, dan tidak akan tunduk kepada kerakusan kuasa,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Semalam, Bendahari UMNI Sabah Datuk Salleh Said Keruak menyifatkan tawaran GRS untuk memberi UMNI hanya lapan kerusi dalam PRN Sabah Ke-17 sebagai “amat menyakitkan hati” sehingga menggagalkan rundingan membentuk gabungan pilihan raya.
Salleh berkata demikian kerana UMNO ketika ini merupakan penyandang di 14 kerusi hasil kemenangan pada PRN lalu.
Kelmarin, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO-BN hanya akan bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah akan datang, sekali gus menolak semua kemungkinan kerjasama sebelum pilihan raya dengan GRS.
Bung Moktar dalam kenyataan beliau turut menegaskan, keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan GRS menunjukkan kepimpinan pusat parti menghormati autonomi bahagiannya di Sabah.
Tegas beliau, apa yang digelar sebagai “Langkah Kinabalu” – percubaan gagal menyingkirkan Hajiji sebagai Ketua Menteri pada 2023 – bukanlah satu pengkhianatan.
Sebaliknya, kata Bung, ia adalah reaksi terhadap kegagalan kepimpinan Hajiji.
“Saya tegaskan di sini, saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja mengenai Langkah Kinabalu Kita boleh berdebat di mana sahaja, bukan hanya menjerit di TikTok seperti ayam berkokok di waktu subuh tetapi takut turun ke gelanggang. Politik bukan pentas jual bahasa basi di media sosial, ia medan hujah dan kebenaran,” katanya lagi.
Langkah Kinabalu bermula pada Januari 2023 selepas BN Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji, dengan alasan berlaku pelanggaran amanah.
Bagaimanapun Hajiji akhirnya terselamat daripada krisis itu dengan sokongan PH manakala beberapa ADUN UMNO enggan meninggalkannya.
Bung Moktar turut menyatakan keyakinannya BN mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri Sebatik selepas lawatannya ke kawasan itu semalam.
“Rakyat Sebatik tahu menilai siapa yang konsisten memperjuangkan nasib mereka, dan siapa pula yang hanya muncul ketika mahu mengaut kuasa,” katanya.



