SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lebam di mata kiri dipercayai akibat dipukul anak pengasuh di sebuah rumah di Batu Muda, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek telah ditahan semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan
“Motif kejadian dipercayai kerana mangsa menangis tanpa henti sehingga mengganggu suspek yang sedang berehat di rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kes ini, kata Fadil disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian itu disedari pada 4.30 petang selepas ibu mangsa datang untuk mengambil anaknya di rumah pengasuh berkenaan.
Ibu bapa kanak-kanak terbabit kemudian membawa anak mereka ke HKL untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan lanjut.


