Kanak-kanak 3 tahun maut, kereta dipandu ibu bertembung kereta peronda polis

SEORANG kanak-kanak perempuan maut manakala tiga lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah kereta Perodua Kelisa dan kereta peronda polis di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Puncak Jelapang di Ipoh petang ini.

Mangsa, Chong Zee Han, 3, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 4.32 petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, ibu mangsa berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kelisa cedera di muka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dua anggota yang berada dalam kereta Honda Civic milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing mengalami cedera di kaki, patah di bahu kiri serta luka di kelopak mata.

“Siasatan awal mendapati kereta peronda polis dipandu seorang anggota lelaki berusia 48 tahun bersama seorang lagi anggota lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Lumut menghala ke Jelapang sebelum kemalangan berlaku.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Perodua Kelisa yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan kereta peronda berkenaan sebelum berlaku perlanggaran,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Abang Zainal Abidin berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian termasuk cermin hadapan yang pecah.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke HRPB Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.

Beliau menambah, usaha mengesan rakaman papan pemuka dan saksi bebas juga sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 22 saat memaparkan insiden tersebut dengan beberapa orang awam dilihat membantu mangsa di tepi jalan sementara menunggu bantuan tiba.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img