SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia akibat lemas selepas dipercayai terjatuh dalam kolam ikan di Kampung Perik, dekat Kuala Nerang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Terap DSP Affzanisham Mohammad Sham berkata dalam kejadian pada 6.15 petang itu, mangsa Ayyash Ahmad Sajid Ahmed dibawa ke Hospital Jitra sebelum disahkan meninggal dunia.
“Ibu bapa kanak-kanak itu memaklumkan anak lelaki mereka bermain pasir di kawasan kolam ikan berhampiran rumah sebelum disedari hilang.
“Mereka kemudian menemukan kasut mangsa terapung di dalam kolam ikan berkenaan sebelum mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat terjatuh ke dalam kolam berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kanak-kanak itu diberikan rawatan kecemasan di hospital terbabit sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11 malam.
Bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat lemas.


