SEORANG kanak-kanak lelaki maut ketika membonceng motosikal bersama bapa saudaranya apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah, Jalan Kampung Chenis, Pahi, Kuala Krai hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Maizan Mustaffa berkata, dalam kejadian pukul 10.55 pagi itu, mangsa Muhammad Syafiq Rifqi Saidi,10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menerima makluman mengenai kemalangan itu kira-kira jam 11.30 pagi daripada anggota bertugas di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori yang datang dari arah Jalan Utama Kota Bharu–Gua Musang menuju ke Kampung Chenis untuk menghantar tanah bertembung dengan motosikal yang dinaiki mangsa menuju keluar dari kampung berkenaan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal yang dinaiki mangsa terlanggar bahagian kanan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan .
Mohd Maizan memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis,” katanya.
Beliau meminta pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.


