Kastam KLIA rampas dadah cuba diseludup dalam ruang rahsia bagasi

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan taktik seorang lelaki warga China yang cuba menyeludup masuk dadah yang disembunyikan dalam ruang rahsia dua bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Pengarah JKDM KLIA, Zulkifli Muhammad berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 28 Oktober lalu hasil pemeriksaan rapi Bahagian Penguatkuasaan JKDM bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerusi imbasan terhadap bagasi dibawanya di Balai Ketibaan Terminal 2.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

“Bungkusan itu dibalut dengan aluminium foil, ditutup papan dan disorokkan di bahagian dalam pelapik kain dua bagasi milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Katanya, dadah berkenaan dianggarkan seberat 6,884 gram dengan nilai rampasan sebanyak RM344,000.

“Suspek dipercayai cuba membawa masuk dadah tersebut ke negara ini menggunakan modus operandi menggunakan ruang simpanan rahsia dalam bagasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dadah jenis ketamin disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Bahagian III, Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, suspek telah dituduh di mahkamah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B(1)(a) akta yang sama.

“Orang ramai diminta membantu pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan kepada JKDM.

“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Jelasnya, sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam terdekat.

“Pihak kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img