JABATAN Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah Unit II Selangor mematahkan tiga cubaan menyeludup pelbagai dagangan termasuk ‘lori hantu’, van panel, dan unit dapur gas mudah alih yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta termasuk duti dan cukai dalam serangkaian serbuan berasingan di bawah Ops Terma dan Ops Petasan.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, rampasan berkenaan membabitkan kegagalan pengimport untuk mengemukakan permit import yang sah bagi barangan yang disenaraikan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Menurutnya, dalam kes pertama pada 7 Januari lalu, sepasukan anggota penguatkuasaan menahan tiga kontena di Kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat.
“Pemeriksaan menemui enam unit panel van diesel terpakai yang setiap satunya mempunyai berat kasar kenderaan (G.V.W) melebihi 5 tan.
“Dagangan berkenaan dianggarkan bernilai RM690,000 dengan duti dan cukai sebanyak RM296,700. Siasatan awal mendapati dagangan ini diimport dari sebuah negara di Asia dan tiba di pelabuhan pada April 2025,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang hari ini, lapor Berita Harian.
Mohamad Azhar berkata, pada 14 Januari, JKDM Selangor sekali lagi menyita tujuh unit lori dumper di Kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara dianggarkan bernilai RM1.1 juta dengan jumlah cukai mencecah RM472,570.
“Selain kenderaan, Kastam turut menggagalkan cubaan membawa masuk 2,566 unit dapur gas mudah alih (portable gas stove) di Pelabuhan Utara pada 12 Januari.
“Barangan berkenaan bernilai RM170,923 termasuk cukai disita kerana tidak mempunyai permit import daripada Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan bagi semua kes ini adalah dengan membuat pengikraran barangan melalui Manifes atau Borang Kastam 1, namun pihak pengimport dikesan gagal mengemukakan permit import yang diperlukan daripada kementerian atau agensi berkaitan seperti MITI dan Suruhanjaya Tenaga.
“Tindakan pengimportan tanpa permit yang sah ini bukan sahaja merugikan hasil negara, malah boleh membahayakan pengguna terutama membabitkan barangan elektrik dan gas yang tidak melalui proses pemantauan standard keselamatan yang ditetapkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan. Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana yang lebih besar), dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.


