HALUAN politik MCA semakin menjadi tanda tanya apabila Presiden parti itu, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, walaupun mengakui ada cadangan menyertai Perikatan Nasional (PN), namun was-was boleh sehaluan dengan Pas.
Sehubungan itu, berucap di Perhimpunan Agung MCA hari ini, beliau membayangkan mereka mungkin tidak menyertai PN kecuali Pas membuat pembaharuan menjadi parti lebih sederhana.
Katanya, amat jelas masyarakat Cina masih menolak Pas dan ada pemimpin parti itu yang masih mengeluarkan kenyataan kontroversi sehingga menyinggung perasaan bukan Islam.
“Ada mencadangkan kita menyertai gabungan pembangkang, PN, tetapi amat jelas masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.
“Sentimen ini semakin mendalam selepas Pas menamatkan kerjasama dan memutuskan hubungan sepenuhnya dengan DAP 10 tahun lalu, menjadikan pengundi Cina lebih sukar menerima Pas.Melainkan Pas membuat pembaharuan dalam partinya, menjadi lebih moderat dan diterima oleh masyarakat majmuk. Jika tidak, faktor ini tetap menghindar parti bukan Islam untuk sehaluan dengan PN,’’ katanya.
Dalam ucapan itu juga, Ka Siong berkata, MCA akan menilai semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO bekerjasama dengan parti luar khususnya DAP.
Beliau berkata MCA tidak akan ‘berdiam diri’ dan akan membuat keputusan yang terbaik untuk menjaga kepentingan partinya.
“Seperti yang saya nyatakan tadi, pendirian MCA amat jelas tiada DAP. Dalam sebarang keputusan besar mengenai kerjasama politik pada masa depan, jika UMNO terus cenderung kepada kerjasama di luar BN terutamanya DAP sehingga semangat BN hilang makna, MCA tidak akan berdiam diri,” katanya.


