Keadaan banjir di Perak, Kedah Pulau Pinang bertambah buruk, 4,743 orang dipindahkan

Banjir di  Larut Matang Selama (LMS) di Taiping  turut menjejaskan Kawasan Tanah Perkuburan Islam Kuala Trong  terdapat beberapa jenazah dan keranda terkeluar daripada liang lahad, selain batu nisan turut tercabut.

HUJAN  lebat berterusan di utara Semenanjung menyebabkan keadaan banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertambah memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara terus meningkat kepada 4,743 orang malam ini, berbanding 4,252 orang petang tadi, lapor Bernama.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang melanda empat daerah terus meningkat kepada 2,806 orang melibatkan 955 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,496 orang melibatkan 857 keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak memaklumkan satu lagi PPS dibuka di daerah Manjung iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Remis menjadikan keseluruhan 25 PPS sedang beroperasi di daerah Larut Matang dan Selama, Manjung, Kerian dan Perak Tengah.

Di PULAU PINANG, sebanyak tujuh PPS dibuka dengan 928 orang daripada 252 keluarga ditempatkan sehingga 8 malam ini dan jumlah itu meningkat berbanding 749 mangsa daripada 225 keluarga ditempatkan di lapan PPS petang tadi.

Menurut laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua daripada empat PPS di Seberang Perai Tengah (SPT) ditutup 7 malam tadi iaitu Dewan Banjir Guar Jering dan Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, manakala dua lagi masih beroperasi iaitu SK Guar Perahu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir.

Pada masa sama, sebuah PPS baharu dibuka di Seberang Perai Utara (SPU) iaitu SK Padang Menora menjadikan kini empat PPS di daerah itu termasuk SK Lahar Yooi, Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting serta Sekolah Agama Rakyat Nyiur Sebatang yang menempatkan 734 orang daripada 200 keluarga.

Satu-satunya PPS di bahagian pulau iaitu di daerah Barat Daya pula menempatkan 24 mangsa daripada sembilan keluarga di SK Tan Sri Awang Salleh.

Di KEDAH, jumlah mangsa tidak banyak berubah dengan 1,009 orang daripada 312 keluarga ditempatkan di lapan PPS setakat 9 malam ini, berbanding 1,007 orang daripada 311 keluarga petang tadi.

JPBN Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa itu adalah dari daerah Kulim dan Kuala Muda.

“Sebanyak 957 orang daripada 288 keluarga di daerah Kulim ditempatkan di tujuh PPS iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Isaniah Jangkang, SK Pagar Museh, Dewan Orang Ramai Sungai Karangan, Surau Kampung Padang Meha, Surau Taman Sang Kancil, Dewan Kampung Paya Tok Betok dan Sekolah Rendah Jenis Cina (SRJC) Khai Min.

“Di daerah Kuala Muda, sebanyak 52 orang daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS SJKC Chong Cheng,” menurut kenyataan itu.

SEMENTARA  itu banjir yang melanda daerah Larut Matang Selama (LMS) di Taiping  turut menjejaskan Kawasan Tanah Perkuburan Islam Kuala Trong dekat Bukit Gantang.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata terdapat beberapa jenazah dan keranda yang terkeluar daripada liang lahad, selain batu nisan di kawasan perkuburan berkenaan turut tercabut daripada tanah.

Beliau bagaimanapun berkata kebanyakan jenazah yang terkeluar daripada liang lahad itu telah diuruskan oleh penduduk kampung.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img