Kejam! RSF guna dron bunuh 40 orang hadiri pengebumian di El Obeid, Sudan

SEKURANG-kurangnya 40 orang awam terbunuh manakala puluhan lagi cedera pada Isnin selepas serangan dron oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pada  satu majlis pengebumian di El Obeid, ibu kota wilayah Kordofan Utara, Sudan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, El Obeid berfungsi sebagai pusat pengurusan operasi ketenteraan di wilayah Kordofan dan Darfur. Bandar itu telah berulang kali diserang dari udara dan artileri oleh RSF yang mensasarkan kemudahan awam, menyebabkan banyak kematian dalam kalangan orang awam.

Serangan besar-besaran ke atas ibu kota Kordofan Utara itu berlaku ketika kedua-dua pihak sedang memperhebatkan penempatan tentera di beberapa kawasan utama di wilayah berkenaan — petanda bahawa situasi ketenteraan di kawasan itu semakin memuncak.

Pesuruhjaya Bantuan Kemanusiaan Kordofan Utara, Mohamed Ismail, memberitahu Sudan Tribune, ron milik militia RSF menyerang orang ramai yang menghadiri satu majlis pengebumian, mengakibatkan 40 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Menurut anggaran kerajaan, El Obeid menampung hampir 20,000 orang pelarian  minggu lalu yang melarikan diri dari bandar Bara dan kawasan lain selepas RSF menawan bandar berkenaan. Terdapat laporan mengenai pelbagai pelanggaran hak asasi manusia termasuk pembunuhan, rompakan, penahanan dan pengusiran paksa.

Sementara itu, Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Isnin berkata pejabatnya sedang mengambil “langkah segera” untuk mengumpul dan memelihara bukti berkaitan dakwaan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan jenayah lain di El-Fasher, Sudan.

Langkah itu diambil susulan laporan mengenai kekejaman yang didakwa dilakukan oleh RSF. Dalam kenyataannya, Pejabat Pendakwa Raya (OTP) berkata ia “amat bimbang” dengan laporan tersebut.

Menurut OTP, kekejaman itu merupakan sebahagian daripada pola keganasan yang lebih luas di Darfur sejak April 2023, dan jika disahkan, “boleh dianggap sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.”

Pejabat itu menegaskan bahawa siasatan ini adalah sebahagian daripada penyiasatan berterusan terhadap jenayah yang didakwa berlaku di Darfur sejak permusuhan bermula tahun lalu.

Kenyataan itu turut menyoroti sabitan terbaru Ketua Militia Janjaweed, Ali Muhammad Ali Abd-Al-Rahman (Ali Kushayb) atas jenayah serupa pada tahun 2004, menyifatkannya sebagai “amaran kepada semua pihak dalam konflik di Darfur bahawa pertanggungjawaban akan dikenakan terhadap jenayah kejam sedemikian.”

ICC mempunyai bidang kuasa ke atas konflik tersebut berdasarkan Resolusi 1593 Majlis Keselamatan PBB yang diluluskan pada tahun 2005, merujuk situasi di Darfur kepada mahkamah itu.

Pejabat pendakwa turut menyeru semua individu dan organisasi supaya menyerahkan sebarang maklumat atau bukti berkaitan kejadian baru-baru ini atau yang terdahulu di El-Fasher melalui platform dalam talian selamat milik ICC.


 

UNDILAH

Loading poll ...

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img