Keluarga Altantuya perlu pulangkan RM4.7 juta kepada kerajaan

KELUARGA Altantuya Shaariibuu perlu memulangkan RM4.7 juta kepada kerajaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti atas kematian wanita warga Mongolia itu hampir 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas kekasih Altantuya, Razak Baginda hanya menerima bayaran balik selepas ditolak RM1.38 juta ganti rugi yang dikurangkan oleh mahkamah kepada keluarga wanita itu tiga hari lalu.

Bayaran balik itu adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengarahkan kerajaan dan Razak masing-masing membayar RM4.7 juta (jumlah keseluruhan RM9.4 juta) sebagai ganti rugi dan mendepositkan wang tersebut sehingga rayuan mereka diputuskan.

Wang itu, termasuk faedah, disimpan dalam akaun pemegang amanah berfaedah di firma guaman Karpal Singh & Co.

Perintah pada 2025 itu, yang dilihat oleh FMT, menyatakan bahawa jika rayuan kerajaan dibenarkan, wang itu mesti dipulangkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Rayuan. Ia juga mengarahkan supaya kos RM25,000 yang dikenakan ke atas kerajaan dipulangkan.

Bagaimanapun, peguam Abraham Au, yang mewakili Razak bersama peguam kanan Gurdial Singh, berkata Mahkamah Rayuan kini memutuskan bahawa wang tersebut perlu dipulangkan dalam tempoh 21 hari.

“RM1.38 juta ganti rugi itu perlu ditanggung oleh tiga pihak, termasuk dua bekas anggota polis, kerana mahkamah mendapati mereka bertanggungjawab secara bersama dan berasingan,” katanya lapor FMT.

Au berkata, setakat ini anak guamnya belum beri arahan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada Selasa, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, atas alasan mereka tidak menjalankan tugas rasmi ketika pembunuhan berlaku.

Namun, Mahkamah Rayuan mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Razak bertanggungjawab atas kematian Altantuya, bersama dua bekas anggota polis tersebut.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan dan Razak membayar secara bersama dan berasingan RM5 juta sebagai ganti rugi kepada keluarga Altantuya, termasuk faedah yang dikira dari tarikh saman difailkan.

Peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, berkata pada sidang media Selasa lalu bahawa keluarga itu mahu memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bagi memperjelaskan sama ada seorang majikan – kerajaan — boleh dipertanggungjawabkan secara vikarius atas perbuatan menyalahi undang-undang oleh pekerjanya.

Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2015. Azilah kini menjalani hukuman penjara 40 tahun, manakala Sirul melarikan diri ke Australia.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img