AHLI keluarga mangsa kepala air di Sungai Klang yang mayatnya ditemukan hari ini selepas lima hari dilaporkan hilang, tidak menyangka mayat mendiang masih dalam keadaan baik.
Abang kepada mangsa yang enggan dikenali berkata, ketika membuat pengecaman terhadap mayat adiknya itu, dia mendapati jasad adiknya masih dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecacatan meskipun dihanyutkan arus sungai sejak lima hari lalu.
“Keadaan mayat adik saya masih elok. Kami cam melalui muka dan tatu dia,” kata abang kepada mendiang K Suresh, 37, yang ditemukan selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, di ibu negara pada Isnin lalu.
Menurutnya, dia dan ahli keluarga dibawa oleh polis untuk proses pengecaman sebaik sahaja menerima maklumat penemuan mayat berkenaan.
“Saya dan beberapa adik-beradik lain melakukan pengecaman terhadap tubuh mendiang.
“Mereka bawa kami terus ke lokasi mayat adik ditemui, bila tengok mayat, memang sah adik saya, mukanya, tatu, semuanya sama dan mayat dia masih elok,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam, hari ini, lapor Sinar Harian.
Katanya, mereka baru sahaja bertemu sehari sebelum hari kejadian namun tidak melihat sebarang perubahan ketara pada adiknya.
“Hari Ahad itu kami bertemu seperti biasa, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan mendiang.
“Sehari kemudian bila saya dapat panggilan kata adik hilang serta dipercayai lemas, kami sekeluarga memang terkejut, sampai sekarang pun masih terkejut, kejadian itu berlaku sekelip mata,” katanya sedih.
Menurutnya, mendiang Suresh seorang yang rajin, berani dan disenangi sesiapa sahaja yang mengenalinya.
“Dia tak memilih dalam berkawan, memang baik dengan semua orang, selain itu dia juga baik dengan rakan serta anak buahnya ketika bekerja, tak kisah sama ada mereka warga tempatan atau asing.
“Sikapnya juga sebegitu, seorang yang ceria dan periang dalam keluarga, kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Polis banyak beri sokongan moral, Ketua Polis Daerah sebelum ini beri jaminan akan sedaya upaya melakukan usaha mencari dan menyelamat adik saya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, pihak bomba dan pelbagai agensi yang membantu, kami sangat berterima kasih, akhirnya adik ditemukan,” katanya.
Mayat mendiang yang hilang selepas dihanyutkan kepala air Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma ditemukan di Sungai Kandis, Shah Alam pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan mangsa ditemukan sekitar jam 10.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.
Dalam kejadian pada jam 5.40 petang Isnin lepas, mendiang Suresh yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.


