KERAJAAN akan mempercepatkan kelulusan projek yang mematuhi semua peraturan dan prosedur ditetapkan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang kelewatan yang tidak perlu dalam proses kelulusan wajar dielakkan kerana boleh menjejaskan momentum pembangunan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Kalau ikut peraturan, prosedur mesti betul, kalau boleh lulus dua bulan, lulus dua bulan. Tidak ada sebab nak tangguh. Ini negara Malaysia baharu, Malaysia yang mahu mencatat pertumbuhan lebih baik, kita tak boleh lengahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih hari ini, lapor Bernama.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kecekapan tadbir urus dan kelulusan pantas merupakan antara faktor penting untuk memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata pendekatan itu akan memastikan rakyat dapat menikmati manfaat pembangunan dan keselesaan hidup hasil pelaksanaan projek yang disegerakan.
Perdana Menteri berkata projek berskala kecil perlu diberi perhatian serius dan tidak wajar dilengahkan kerana ia memberi kesan langsung kepada keselesaan rakyat.
“Projek-projek kecil seperti jalan kecil, projek membina surau, ini dianggap umpamanya projek kecil. Itu pun bagi saya projek utama. Kalau harus disiapkan, siapkan segera,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata prestasi ekonomi negara ketika ini berada pada tahap memberangsangkan dengan pertumbuhan yang membanggakan di peringkat serantau, pengukuhan nilai ringgit serta rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.
“Kalau lihat angka-angka terkini, prestasi ekonomi kita baik. Kita lihat umpamanya pertumbuhannya, di rantau ini membanggakan. Kita lihat kekuatan ringgit itu cukup meyakinkan sekarang.
“Kita lihat angka pelaburan (ketika ini) tertinggi dalam sejarah. Semua angka ini penting untuk menambah keyakinan rakyat, termasuk di Semenyih,” katanya sambil menekankan bahawa pencapaian itu penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap asas ekonomi negara.


